Puas saya berfikir dan mencari. Bagaimana untuk menjelaskan kedudukan bangsa Melayu yang sebenarnya. Memang satu proses yang agak sukar.
Sesekali nampak ada kehebatan, sesekali sebaliknya. Hinggalah saya bertemu dengan satu perumpamaan. Tetapi saya tidak pasti samada ia tepat atau tidak.
Saya ternampak bangsa Melayu itu macam sebuah kebun dimana terdapat pokok-pokok. Boleh jadi pokok getah atau pokok durian. Pokok getah atau durian ada 2 kategori - kahwin/cantum atau tidak. Yang dicantum pun ada dua jenis - dengan matatunas berkualiti atau tidak.
Orang-orang Melayu itu adalah seperti pokok getah/durian yang tidak dicantum. Boleh juga dipanggil pokok kampung atau pokok hutan. Kebiasaannya pokok yang tidak dicantum ini mengeluarkan hasil yang kurang baik - kurang lebat kalau buah durian atau kurang susu kalau pokok getah. Kalau pun dicantum, matatunasnya yang digunakan tidak berkualiti - seperti pokok asalnya.
Walau baggaimana pun dalam begitu banyak pokok yang tidak dicantum masih terdapat satu dua pokok yang akan mengeluarkan hasil yang tinggi dan agak baik. Kalau getah, susunya menandingi pokok yang dicantum/kahwin. Tetapi majoriti pokoknya akan mengeluarkan hasil yang kurang memuaskan. (Begitu juga sebaliknya, majoriti pokok cantum akan mengeluarkan hasil yang sangat baik dan ada satu atau dua pokok yang tidak.)
Sebab itu kita dapati bangsa ini keseluruhannya bermasalah dan sangat rendah pencapaiannya dalam banyak aspek, walaupun terdapat di sana-sini dan sekali-sekala pencapaian yang boleh dibanggakan.
Mencantum pokok adalah satu proses yang mudah. Hasilnya memang hampir 100%. Tetapi bagaimana hendak 'mencantum' bangsa?
Tidak lain tidak bukan ialah melalui satu proses pendidikan yang sebenar. Melalui satu proses pendidikan yang sebenarlah yang akan meng'transform'kan sesuatu bangsa dari tahap kualiti 'pokok kampung/hutan' ke tahap kualiti ' pokok cantum/kahwin'.
Wujudkah proses pendidikan yang sebenar itu sekarang?
Jawapannya tiada. Bukan sahaja tiada tetapi kita masih kabur dan keliru tentangnya. Kita masih lagi tercari-cari pendidikan yang sebenar itu. Pendidikan yang ada hari ini masih cacamerba. Selain membaca, menulis dan mengira tidaklah banyak sangat perkara lain yang berguna yang diajar dan boleh dipelajari.
Pendidikan kita yang ada ini belum yang sebenarnya untuk bangsa kita. Pendidikan yang ada hari ini masih ditahap matatunas pokok kampung/hutan. Kualitinya sangat rendah. Dicantum atau tidak dicantum pun tidak membawa perbezaan yang besar.
Begitulah pada pandangan saya kedudukan bangsa/orang Melayu hari ini - umpama pokok yang tidak dicantum atau kalau dicantum pun bukanlah dengan matatunas klon cantuman yang terbaik/berkualiti. Hasilnya, apa yang kita boleh lihat sendiri.
1 comment:
Setiap bangsa di dunia ini ada kebaikan dan keburukan masing-masing. Menghentam bangsa sendiri seolah-olah kita kecewa dengan diri kita sendiri dan tidak redho dilahirkan sebagai orang melayu.
Perpatah melayu ada berkata : "Buang yang keruh/buruk dan ambil yang jernih/baik".
Bangsa Melayu berdasarkan sejarah adalah satu bangsa yang terbilang di masa lampau sehingga orang eropah berlumba-lumba ingin memilikinya. Dimiliki bukan untuk dibaiki atau di'up-gradekan' tetapi untuk dimusnahkan.....itu adalah cita-cita puak-puak Yahudi dan Nasrani sedunia yang ekstrim - menakluki negara umat islam dan memusnahkan umatnya.
Kita sudah maklum, Kerajaan Melayu-Islam Melaka yang cemerlang, gemilang dan terbilang itu telah jatuh ke tangan penjajah Portugis ( 1511 ), Belanda, Inggeris dan Jepun silih berganti. Ketika inilah bangsa Melayu telah dirobek harga-diri, jati-diri dan maruah diri mereka.Bangsa yang dahulunya gah dalam segala bidang....lumpuh dan layu dek kerana penaklukan ini yang bukan sahaja melibatkan penjajahan fizikal/geografi tetapi merangkumi juga penjajahan pentadbiran, budaya-sosio, adat resam dan agama.
Bayangkan sejak 1511 hingga 1957...tempoh kegelapan bangsa Melayu. Jika bangsa eropah yang dibangga-banggakan itupun mempunyai zaman kegelapan mereka, kita bangsa Melayu Malaysia pun telah mengalaminya dalam tempoh 446 tahun. Kita baru 51 tahun berada di dalam zon putih....zon bersih dari belenggu penjajah secara lahirnya sahaja....zahirnya masih banyak peninggalan penjajah yang masih menular di dalam masyarakat kita.
Perjuangan untuk memartabatkan bangsa Melayu kini adalah bermotifkan untuk melenyapkan pengaruh / pemikiran ( yang negatif )penjajah dari setiap individu melayu.
Jika ia masih melekat / tersepit walaupun sedikit dalam hati kita.....biarpun di mulut berdegar-degar memperjuangkan nasib orang melayu dan umat Islam tetapi oleh sebab nawaitunya kabur dan was-was, tidak kemanalah perjuangan kita. Dan jangan lupa.....musuh-musuh kita baik di dalam dan di luar sentiasa mahukan bangsa kita yang beragama Islam ini hancur sehancurnya.......melalui orang Melayu sendiri.
Awas dan berwaspadalah kita demi kesinambungan dan survival agama, bangsa dan negara kita.
Sekian Terima kasih
Anak Watan71
Post a Comment