Tuesday, April 8, 2008

3 Golongan Yang Mengecewakan

Macam ada sesuatu yang tidak kena pada bangsa ini. Bukan saja golongan remaja/mudanya dilanda oleh pelbagai masalah, tetapi golongan tua/dewasanya pun tidak terkecuali.

Golongan muda dengan masalah sosialnya yang bermacam-macam, golongan tua pula terlibat dengan amalan yang tidak kurang memudaratkan seperti salahguna kuasa, tidak amanah, rasuah, politik yang merugikan bangsa dll.

Memang banyak pihak boleh dipersalahkan. Setiap pihak menyumbang kepada kepincangan atau kecelaruan yang melanda bangsa dewasa ini. Pada hemat saya, ada tiga golongan utama yang gagal berfungsi sebaiknya. Mereka sangat mengecewakan. Mereka inilah yang menyumbang besar kepada kepincangan masyarakat hari ini.

Pertama, golongan pemimpin atau pemerintah.

Kedua, golongan agama.

Ketiga, golongan pendidik.

Sekiranya satu bangsa itu diibaratkan sebagai satu keluarga, golongan pemimpin atau pemerintah adalah bapa dalam keluarga tersebut, golongan agama/ulama adalah ibu, manakala golongan pendidik (guru, pensyarah, cerdikpandai) adalah seperti abang atau kakak.

Golongan pemimpin/pemerintah rakus dengan kuasa. Tidak kurang juga yang angkuh. Kuasa politik bukan digunakan untuk tujuan kebaikan rakyat, tetapi untuk kepentingan peribadi atau 'personal glory'. Kedudukan dan kuasalah yang menjadi buruan utama, bukan keinginan untuk membela bangsa. Perjuangan untuk membela 'bangsa, agama dan negara' itu hanyalah mainan di bibir sahaja bagi kebanyakan mereka. Perkara ini diketahui oleh kebanyakan orang termasuk mereka yang terbabit sama.

Golongan agama (terutama ulama) rata-rata keliru dalam berperanan. Mereka gagal mewarisi peranan nabi untuk membimbing dan mendidik manusia. Mereka gagal menghayati visi dan misi perjuangan nabi dan orang-orang soleh yang terdahulu. Akibatnya mereka samada sekadar menjadi tok imam di masjid dan surau sahaja atau menceburkan diri dalam politik berparti (dalam agama ada politik) dan bergelut untuk merebut kuasa politik. (Mereka merasakan melalui kuasa politik segala masalah hanya dihadapi oleh masyarakat akan dapat diatasi.) Mereka meninggalkan tugas utama mereka iaitu dakwah dan tarbiah. Akibat meninggalkan tugas dakwah dan tarbiah menyebabkan masyarakat tidak terbimbing dan gagal memahami tuntutan agama yang sebenarnya. Perkara ini disedari oleh sebahagian orang.

Golongan pendidik hari ini gagal menjadi 'lilin yang membakar dirinya' untuk menerangi orang lain. Kebanyakan mereka bekerja hanya sekadar untuk makan gaji (sumber pendapatan). Memang ramai yang menceburi bidang pendidikan adalah kerana sukar untuk mendapatkan pekerjaan lain. Mereka bukan sahaja kurang minat dan tidak berbakat dalam bidang ini, tetapi juga kurang komited atau tiada komitmen samasekali. Tidak kurang juga yang bercita-cita tinggi sehingga menjadikan jawatan itu perkara yang paling utama, pelajar-pelajar perkara kedua. Mereka lebih berminat untuk mengejar pangkat dan jawatan dari mengurus dan membangun pendidikan yang berkualiti. Inilah diantara sebab yang menjadikan pusat-pusat pendidikan (sekolah, IPT) hari lembab, kurang bermaya dan sangat rendah kualitinya. Perkara ini diketahui oleh sedikit orang.

Memang masih ada dikalangan pemimpin, ahli agama dan pendidik yang bertanggungjawab, amanah, mengutamakan orang lain dari diri sendiri, memiliki komitmen yang sangat tinggi, hingga ke tahap sanggup berkorban - "the people are always on their minds and are always in their hearts". Tetapi golongan mereka sangatlah kecil.

Mungkin sukar bagi sesetengah orang menerima pandangan ini. Satu sebabnya ialah tabiat kita yang suka melihat dan menyalahkan orang atau golongan lain. Kita dan golongan kita betul, yang salah ialah orang atau golongan lain. Kecenderungan ini sangat kuat di kalangan orang agama.

No comments: