Friday, July 25, 2008

Exco Beli Kompressor

Lagi sekali saya tidak menulis untuk seketika.

Beberapa perkara telah berlaku. Diantaranya pembelian kereta Mercedes Kompressor untuk kegunaan exco kerajaan Trengganu.

Alasanya untuk keselamatan. Betulkah?

Betulkah kereta Proton Perdana kurang selamat? Berapa banyak kemalangan yang melibatkan kereta Proton Perdana? Betulkah exco-exco ini terkejar ke sana terkejar ke sini?

Semuanya tidak logik. Rakyat sangat bodoh agaknya untuk menerima alasan begitu. Atau siapa yang bodoh?

Katanya lagi Proton Perdana mudah rosak. Betulkah? Bukankah dengan RM3.40 juta itu boleh beli 28 biji proton jika dibandingkan dengan hanya 14 buah Mercedes Kompressor. Berilah 2 biji seorang, pakai bergilir-gilir. Rosak satu ada satu ‘spare”. Bukankah ini menyokong usaha/perusahaan negara sendiri?

Sebanya, senangnya, hendak mewah, tidak patriotik. Di mulut saja tersembur perkataan sayang/cinta negara. Yang dicintai ialah kemewahan. Kalau pemimpin tidak patriotik, layakkah jadi pemimpin? Patutnya menjadi contoh kepada rakyat. Tetapi tidak.

Sedar-sedarlah diri. Kebanyakan exco-exco ini anak orang kampung. Orangtua dulu pun entah-entah hanya mampu naik basikal tua. Janganlah tiba-tiba sudah tidak selesa naik Proton Perdana.

Bangsa yang tidak patriotik susah hendak maju. Bagaimana hendak maju kalau tidak mampu mengutamakan produk negara sendiri? Semuanya hendak yang import. Perangai ini sudah merata ke semua golongan.

Hari ini timbul pula cerita exco Selangor hendak pakai Toyota Camry. Alasannya hampir sama.

Bolehkah diharapkan pemimpin begini?

Thursday, July 10, 2008

Tuhan, Selamatkanlah

Tuhan, selamatkanlah…
Selamatkanlah bangsa ini
Dari krisis yang tidak berkesudahan
Dari kehancuran dan kemusnahan.
Engkau mengetahui
Akan keadaan bangsa ini
Di seliputi pelbagai masalah
Kecil dan besar
Yang melibatkan semua golongan
Tua dan muda
Lelaki dan wanita
Yang beragama dan tidak beragama
Yang terpelajar dan tidak berpelajaran
Pemimpin dan rakyat.
Selamatkanlah kami
Dari kejahatan
Diri kami sendiri
Dari nafsu yang tidak terkekang
Dari kepentingan diri yang melampau
Dari keinginan kepada kuasa yang tidak terbatas.
Selamatklanlah kami
Dari golongan yang khianat
Dan memudarat
Singkirkanlah dari kami golongan bergelar pemimpin yang khianat
Dan golongan agama/ulama yang memudarat.
Datangkanlah kepada kami
Golongan umara’ dan ulama yang benar
Umara’ yang memimpin
Dan ulama yang membimbing.
AMIN.

Wednesday, July 9, 2008

Melayu tidak akan Hilang di Dunia?

MELAYU TIDAK AKAN HILANG DI DUNIA.

Itulah kata-kata keramat Hang Tuah. Benarkah kata-kata ini? Benarkah Melayu tidak akan hilang di dunia?

Boleh jadi benar. Melayu tidak akan hilang di dunia.

Tetapi, bukanlah kerana kehebatan orang Melayu sendiri atau pemimpinnya. Bukan kerana kekuatan atau kehebatan bangsa ini sendiri yang ia akan terus selamat. Tetapi kerana Tuhan yang menghendaki demikian. Tuhan yang melindungi dan memeliharanya.

Bangsa ini selamat “inspite of” kerenah dan perangai buruknya. Kalau ikutkan tindak tanduk mereka (rakyat dan pemimpin) pasti sudah lama bangsa ini sudah “tiada di dunia”. Hilang entah di mana. Merempat entah di mana. Berbagai malapetaka ciptaan sendiri yang memusnahkannya. Bangsa ini pasti sudah musnah akibat keburukan dan kejahatan sendiri.

Sebenarnya, Tuhanlah yang memelihara bangsa ini. Tuhanlah yang memelihara mereka dari kejahatannya dan kejahatan golongan pemimpinnya sendiri. Agama Islamlah yang menyelamatkan mereka. Pengamalan Islam yang sedikit itulah yang membolehkan bangsa ini masih ada negaranya, masih ada di tanahairnya.

Tanpa Islam kita tidak pasti apa yang sudah berlaku. Sedangkan dalam keadaan beragama Islam pun macam-macam perkara boleh berlaku. Macam-macam perkara yang tidak masuk akal boleh berlaku. Bayangkanlah kalau bangsa ini bukan penganut agama Islam. Boleh jadi ia menjadi seburuk-buruk umat di atas muka bumi.

Kelemahan bangsa ini sudah diperkatakan oleh Pendita Zaaba sejak tahun 30an dan 40an lagi. Tun Dr Mahathir Mohamad pun ada menulis dalam buku Dilema Melayunya. Macam-macam perangai rendah terdapat pada bangsa ini. Bacalah kembali tulisan kedua tokoh ini.

Rata-rata boleh dikatakan bangsa ini mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang rendah. Sangat mementingkan diri sendiri walaupun memudaratkan bangsa dan negara, bahkan sanggup menggadai negara untuk kepentingan diri. Lihatlah gelagat sebahagian golongan pemimpinnya...

Sejarah dengan jelas membuktikan bahawa golongan pemimpin dengan mudah bersekongkol dengan pihak luar sekiranya dapat memegang tampuk kuasa. Mereka dengan mudah mengundang pihak luar untuk campurtangan asalkan mereka “naik tahta”.

Mereka akan merebut dan mempertahankan kuasa dengan apa cara sekalipun. Yang tidak layak jadi pemimpin ingin jadi pemimpin. Wang dan agama digunakan sebagai alat untuk berkuasa.

Golongan rakyatnya pun tidak kurang juga. Mereka bersikap tidak peduli, asalkan mereka dapat kesenangan. Undi sudah dibeli dengan wang.

Mereka juga sangat mudah terkeliru dan terpedaya dengan idea-idea atau agenda perjuangan yang tidak benar yang dibawa oleh golongan agama.

Kakitangan kerajaan (termasuk golongan pendidik) mempunyai dedikasi yang sangat rendah. Yang berpangkat mengutamakan jawatan. Bukan JASA yang hendak dibuat tetapi JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) yang diburu. Setidak-tidaknya jawatan DG/DH/DS 48/52/54 dsbnya, kalau pun bukan JUSA. Hasil kerja tidak seberapa. Tidak setimpal dengan jawatan/pangkat dan gaji/elaun. Nasib pelajar kurang diambil berat. Kalau ada pun hanyalah mengusahakan pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang tinggi (itu pun mungkin ada kepentingan peribadi disebaliknya – untuk tujuan naik pangkat). Tidak kurang juga yang ‘membega’ markah dengan cara meluluskan yang tidak patut lulus. Sebabnya...? Anda tahu sendiri.

Inilah realiti bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah itu mungkin benar, tetapi bukanlah kerana kebaikan dan kehebatannya, ia tidak akan hilang di dunia. Ia masih wujud kerana Tuhan yang menghendaki demikian, Tuhan yang memeliharanya.

Monday, July 7, 2008

Malaysia Going to the Dogs?

Hampir tiga minggu saya tidak menulis. Ada kombinasi beberapa sebab.
Di antaranya boleh jadi saya menjadi “put-off” dengan suasana politik di Malaysia. Kebelakangan ini rasa sangat malas melayari internet dan membuka blog. Juga kurang berselera menonton program TV. Terbaca di akhbar terdapat beberapa orang blogger yang merasa “fed-up” dengan tindak tanduk golongan yang bergelar pemimpin (the so-called leaders).
MALAYSIA GOING TO THE DOGS? (Malaysia akan hancur?)
Nampaknya begitulah kalau diserahkan kepada golongan pemimpin-pemimpin. Mereka tidak peduli apa yang akan berlaku kepada bangsa dan negara. Mereka akan buat apa yang memuaskan mereka. Mereka hanya mementingkan diri, keluarga dan puak masing-masing.
MELAYU OH MELAYU! Malangnya nasibmu. Sejarah mungkin berulang. Bangsa dan negara ini akan hancur, jika tiada campurtangan Tuhan. Tiada siapa yang sebenarnya peduli terhadap nasib bangsa ini. Berjuang untuk membela bangsa, agama, negara itu hanyalah sekadar ucapan di bibir.