Friday, June 20, 2008

Kita Terlalu Bermewah

Ambillah iktibar dari jiran timur kita, Filipina. Satu ketika dahulu di tahun 60an Filipina sudah dikira “on the verge of economic take-off” untuk menjadi negara yang maju. Tetapi apa yang diharapkan tidak menjadi. Kini Filipina adalah sebuah negara yang dikira mundur dan tertinggal di belakang. Rakyatnya terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah dan pemain muzik di kelab-kelab malam di serata dunia.

Perkara yang sama boleh berlaku pada negara ini. Negara ini dianggap salah satu “economic tiger”. Kita telah mencapai tahap negara membangun. Hasilnya negara kita boleh dianggap makmur dan kaya.

Tetapi, adakah kekayaan dan kemakmuran ini akan berterusan?

Kita mungkin tidak pernah terfikir soalan ini. Mungkin juga merasakan tidak perlu bertanya soalan demikian. Kebanyakan kita mengandaikan bahawa kekayaan negara kita akan bertahan untuk tempoh yang lama kalau pun tidak selama-lamanya.

Dan kebanyakan kita terutama orang Melayu menumpang kekayaan negara ini. Kita tidak pandai mencipta kekayaan sendiri. Samada sebagai kakitangan kerajaan yang dibayar gaji dan elaun yang agak besar (ada yang terlalu besar, tidak sepadan dengan sumbangan seperti bonus 6-9 bulan setahun) atau dari projek perniagaan yang diperolehi dari kerajaan (samada secara wajar atau tidak, benar atau alibaba).

Dengan kekayaan inilah kita berbelanja dan bermewah sakan. Kita berbelanja mewah terutama dalam hal membeli kenderaan. Kalau mengikut trend yang ada satu ketika nanti hanya golongan buruh, petani dan nelayan sahaja yang berkereta nasional. Itu pun kerana mereka tidak mampu. Golongan-golongan lain tidak akan selesa sekiranya tidak berkenderaan berjenama luarnegara. Parking-parking lot pejabat kerajaan, IPT-IPT, sekolah-sekolah akan dipenuhi dengan kereta-kereta dari Jerman, Jepun, Sweden atau setidaknya Korea.

Mungkin ada yang berlawan-lawan. Model siapa lebih mahal dan lebih terbaharu. “Awak pakai kereta Jepun, aku pakai kereta Jerman. Kereta Malaysia ini tidak main.”

Sedarkah kita dua sumber besar pendapatan negara adalah petroleum dan cukai dari ekspot barangan elektronik buatan kilang-kilang pelabur asing di negara ini? Sedarkah kita kedua-dua sumber ini tidak bertahan lama?

Pelabur asing sudah banyak meninggalkan negara dan yang baru terlalu sedikit yang datang. Sebabnya tidak sukar diketahui. Pertama, kos tenaga yang lebih murah di negara lain terutama bekas negara komunis. Kedua, tidak lagi menjadi kepentingan strategik Barat menggalakkan pelabur-pelabur mereka melabur di rantau ini setelah ketiadaan komunis. Pusingannya sudah berakhir.

Simpanan petroleum kita pun boleh habis bila-bila masa. Ada yang menjangkakan lebih kurang 5 tahun.

Dari mana lagi negara boleh mendapatkan wang dengan cara yang mudah dan terjamin?

Sumber-sumber lain masih ada seperti getah, kelapa sawit dll. Tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak minyak dan ekspot barangan buatan kilang pelabur asing.

Sumber-sumber lain seperti biotechnology masih di tahap “cakap-cakap” atau atas kertas. Memandangkan tahap kecekapan orang kita (pemimpin dan rakyat) kita tidak pasti benda-benda baru seperti ini boleh berjaya. Projek-projek yang sedang dilancarkan kini juga masih dikhuatiri keberhasilannya (malah boleh membawa kerugian).

Kemungkinan negara kita akan mengalami nasib seperti negara Filipina adalah sangat besar. Boleh jadi tidak seteruk negara tersebut memandangkan ada perbezaan dari segi beberapa faktor seperti kehadiran “Chinese entrepreneurship” yang besar di negara ini.

Kita mungkin tidak boleh bergantung kepada kerajaan lagi sekiranya mahu terus hidup mewah. Kerajaan tidak mampu lagi membiayai “kemewahan” kita dengan gaji dan elaun yang “bukan-bukan”.

Untuk terus mewah, kita perlu berusaha sendiri dengan jalan menceburi bidang perniagaan. Tetapi, bolehkah? Pandaikah? Beranikah?

Kemunduran ini mungkin tidak berlaku sekelip mata. Ia mungkin memakan masa satu generasi. Mungkin kita terselamat dalam hayat hidup kita.

Yang akan menanggung beban adalah generasi akan datang. Mereka dibesarkan dengan kemewahan, tetapi akan berhadapan dengan kesulitan apabila mereka dewasa. Di manakah mereka mahu mencari pekerjaan untuk meneruskan kehidupan mewah yang mereka telah terbiasa?

Ada dua cara – cara wajar dan cara tidak wajar.

Cara wajar adalah seperti menceburi perniagaan atau berhijrah negara lain yang maju dan mewah dari kita. Tidak ramai yang mampu berbuat demikian.

Cara tidak wajar adalah dengan cara menjual maruah. Juallah apa yang ada. Yang lelaki terlibat dengan aktiviti rasuah, penipuan, pecahamanah, perniagaan haram dll. Yang wanita menjual diri mereka di kelab-kelab malam sebagai GRO dsbnya.

Ini pun sudah berlaku sekarang, kerana inginkan kemewahan. Bayangkan apa akan jadi 10, 20 atau 30 tahun akan datang? Iklan yang meluas di internet oleh wanita-wanita Malaysia (Melayu) untuk perkhidmatan tertentu? Perkhidmatan tertentu dari rumah ke rumah yang lebih terbuka? Sticker-sticker di cermin kereta untuk perkhidmatan tertentu oleh gadis-gadis dan remaja kita?

Apa yang berlaku hari ini mungkin sekadar bayangan.

Renungkanlah.

Thursday, June 19, 2008

Siapa yang Sakit?

Seorang penulis politik yang agak terkenal di tanahir (terutama dengan nujum/ramalannya) telah menulis di dalam akhbar Buletin Rakyat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang tua yang sakit.

Beliau dikatakan sakit kerana terlalu marah dengan pembatalan jambatan bengkuk.

Benarkah ini? Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang sakit?

Adakah hanya kerana jambatan bengkok Tun Dr Mahathir menjadi sakit?

Siapakah sebenarnya yang sakit? Tun Dr Mahathir Mohamad atau orang lain?

Kalau mengikut kaedah agama, sesiapa yang dituduh kafir tetapi tidak kafir, tuduhan itu kena balik kepada yang menuduh.

Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sakit, siapa sebenarnya yang sakit? Yang menulis atau orang (pemimpin) lain?

Saya tidak begitu mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi. Tetapi saya dapat membuat penilaian saya sendiri. Saya faham mengapa beliau berbuat apa yang beliau buat. Saya yakin beliau tidak akan sekali-kali berhenti dari apa yang sedang dilakukannya kini. Saya pun akan berbuat demikian sekiranya saya berada dalam kedudukan beliau.

Beliau nampak satu bahaya besar atau satu bencana yang menanti bukan sahaja parti UMNO tetapi bangsa dan negara. Sesuatu sedang berlaku dalam UMNO dan dalam negara. Kalau dulu bangsa dan negara boleh dianggap berada di tepi mulut harimau tetapi telah selamat, hari ini bangsa dan negara bukan sahaja kembali berada di tepi mulut harimau tetapi pada waktu yang sama berada di tepi mulut buaya. Kalau dibiarkan kita tidak tahu siapa yang menelan dahulu, harimau atau buaya. Atau kedua-duanya sekali.

Tetapi masalahnya, ramai rakyat tidak nampak. Rakyat tidak nampak masih boleh dimaafkan. Yang sangat malang, ada juga golongan penulis yang tidak nampak. Mereka sepatutnya nampak perkara ini (samada dengan mata lahir atau matahati) dan menyedarkan golongan rakyat.

Tetapi mereka tidak nampak. Saya tidak tahu mata mana yang tidak nampak. Ahli politik mungkin ada yang benar-benar tidak nampak. Tetapi ada juga yang nampak tetapi oleh kerana pangkat, jawatan, kekayaan buat-buat tidak nampak.

Patutlah bangsa ini ditimpa malang sepanjang sejarahnya. Dua golongan utama kurang boleh berperanan dan kurang boleh diharapkan. Pemimpin yang diharapkan tetapi menjadi seperti “pagar makan padi”. Atau “sokong membawa rebah”.

Golongan penulis pun sama. Kita tidak tahu apa sebabnya benda yang terang yang tidak lagi perlu bersuluh pun mereka tidak nampak. Ada diantara mereka bertindak lebih dari lalang yang mudah ditiup angin. Pendirian berubah-ubah. Semalam sokong orang ini. Hari ini sokong orang lain, benci yang semalam. Esok kembali sokong yang semalam, benci yang hari ini.

Apakah bendanya ini? Layakkah dipanggil penulis?
Jadi, siapakah yang sakit sebenarnya? Tun Dr Mahathir? Atau yang menulis? Atau pemimpin-pemimpin yang lain? Atau siapa?

Tuesday, June 17, 2008

Berjiwa Raja

Kalau pemimpin dari kalangan rakyat berjiwa rakyat, itu BIASA.

Kalau pemimpin dari kalangan raja atau golongan bangsawan berjiwa raja atau bangsawan, itu pun BIASA.

Kalau pemimpin dari kalangan raja atau golongan bangsawan berjiwa rakyat, itu LUARBIASA.

Tetapi, kalau pemimpin dari kalangan rakyat berjiwa raja atau bangsawan, itu MALAPETAKA, DISASTER.

Ini yang sedang terjadi dalam negara ini. Bukan sahaja pemimpin, tetapi rakyatnya pun berjiwa raja.

Pemimpin berjiwa raja tidak akan mendengar suara atau keluhan rakyat. Kehendaknya perlu dipenuhi. Engkar dianggap derhaka. Derhaka maknanya hilanglah segala-galanya.

Rakyat berjiwa raja suka bermewah, berpesta. Budaya hidup mewah semakin menjadi-jadi, termasuklah yang paling malang golongan pendidik dan agama.

Apa hendak jadi dengan bangsa dan negara?

Menanti BINASA.

Sejarah tidak menyebelahi kita.

Thursday, June 12, 2008

Here He Goes Again

“DAP chairman Karpal Singh lodged a police report at the Dang Wangi police station yesterday against Dr Mahathir over what he said were allegations of him threatening judges.” The Star, 12-06-08.

HERE HE GOES AGAIN. Dia buat hal lagi. Tidak habis-habis.

What is this lawyer/politician up to? What is he trying to achieve?

To be a hero?

Or just to score cheap political points?

Come on man! We don’t need this kind of thing. You should know better who is/are our enemy/enemies. You should know better who is/are destroying this country. You are just helping the enemy/enemies.

You are not doing any body a service or a favour. Not Malaysians. Not even the Punjabi community. May be the law community, yes. They seem to like this kind of thing. But definitely you are helping the enemies of the people and the country.

Wednesday, June 11, 2008

Pemecatan Tan Sri Sanusi Junid

Terdapat 2 perkara yang menarik apabila membaca blog Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertama, tentang penyingkiran Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden UIA. Kedua komen seorang penulis yang menyuruh TDM berehat dari politik.

Yang pertama tentang Tan Sri Sanusi Junid. Saya mengikut juga perjalanan beliau semenjak sebelum menjadi Menteri Besar Kedah lagi. Saya juga faham mengapa diletakkan dan di jawatan itu dan mengapa beliau terpaksa meletakkan jawatan.

Tetapi saya tidak salahkan beliau. Yang salah ialah UMNO dan orang Melayu sendiri.

UMNO memang dipenuhi oleh manusia yang mementingkan diri sendiri walaupun mulut berbuih dengan kata memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Mereka tidak menghargai ketokohan dan kebolehan seseorang.

Tan Sri Sanusi Junid adalah seorang pemikir. Beliau seorang pencari dan pencetus idea. Mana-mana sistem atau parti memerlukan orang begini. Negara memerlukan tokoh begini. Tempat mesti disediakan untuk orang begini. Kita tidak boleh samakan seorang seorang pemikir dengan seorang pelaksana. Dalam ramai-ramai pemimpin mesti ada orang yang berwatak pemikir disamping yang berwatak pelaksana. Dalam Bahasa Inggeris orang begini dipanggil ideologue.

Tapi malangnya UMNO gagal melihat hal ini. Setiap tokoh dalam UMNO hanya hendak melonjakkan diri mereka. Track record sebagai menteri besar contohnya digunakan untuk meraih sokongan. Mampukah seorang yang kelebihannya kepada pencetusan idea bersaing dengan mereka yang berwatakkan pelaksana? Jawapannya sudah tentu tidak.

Ini adalah diantara sebab beliau tersingkir dari jawatan naib presiden UMNO. Calon-calon lain mempunyai track record yang hebat-hebat mentadbir negeri, membawa pelabur asing yang banyak, meningkatkan ekonomi negeri dsbnya. Walaupun semua ini hanyalah untuk jangkamasa pendek.

Walaupun beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi pada pandangan saya jawatan itu hanyalah sebagai benteng untuk beliau dari serangan seorang lagi tokoh UMNO yang tidak sabar-sabar mahu berkuasa. Tokoh ini yang sekarang sudah tiada dalam UMNO mahu membunuh karier politik Tan Sri Sanusi Junid. Tokoh ini melalui akbar tertentu tidak habis-habis menyerang beliau. Beliau bukan sahaja berhadapan dengan parti pembangkang, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan golongan tertentu dalam UMNO yang hendak membunuh karier politiknya - sama seperti apa yang dihadapi oleh Datuk Mukhriz Mahathir di Jerlun baru-baru ini.

Saya tidak hairan sekiranya beliau dianggap ‘gagal’ sebagai menteri besar Kedah. Beliau adalah tokoh pemikir, bukan tokoh pelaksana. Tetapi, di dalam UMNO tiada tempat untuknya.

Saya rasa beliau tidak berasa sedih disingkir dari jawatan Presiden UIA. Dia telah buat apa yang dia patut buat – meninggalkan UMNO. Saya tidak hairan samasekali dengan tindakannya keluar UMNO mengikut jejak langkah Tun Dr Mahathir Mohamad. Orang yang ‘membaca’ dan mengkaji sentiasa peka kepada keadaan. Mereka tahu keadaan yang sebenar dan tidak akan menjual maruah kerana jawatan. Tidak seperti sebahagian tokoh dan bekas tokoh politik yang sanggup berbuat demikian.

Tiada apa yang disayangkan dengan jawatan Presiden UIA. Prinsip perjuangan perlu diutamakan. Saya pun tidak nampak apa sangatnya special UIA ini. (Bukan salah atau kegagalan beliau.) Selain ada masjid di tengah kampus dan terdapat pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa, tiada apa yang islamiknya. Kualitinya lebih kurang juga sama dengan universiti-universiti yang lain. Graduatnya tidak lebih islamik dari yang dikeluarkan oleh universiti lain. Tidak terbina jatidiri Islam sebenar yang unggul dalam diri mereka. Kita belum bersedia melaksanakan idea islamik yang sebenar dalam sistem pendidikan kita.

Tiada apa yang dirugikan melepaskan atau disingkir dari jawatan itu. Semuanya prestij sahaja. Saya rasa orang seperti Tan Sri Sanusi Junid tidak perlukan ini.

Perkara kedua ialah komen seorang penulis yang menyuruh TDM bersara, melepaskan urusan politik kepada golongan muda dan berehat sajalah. Hingga dicadangkan TDM berehat di Mekah.

“I hope this person is joking.” Pertama dia tidak nampak apa yang sedang berlaku dalam negara ini. Kalau negara ini di tepi mulut harimau dan mahu dibaham harimau pun dia tidak nampak. Kalau ada musuh depan mata pun dia tidak nampak.

Kedua, konsep ibadahnya yang salah. Saya rasa ramai lagi yang berfikiran begini. Bagi mereka, ibadah itu di masjid, sembahyang, baca quran, cuci lantai masjid dll. Di pejabat, di ladang, di sekolah itu bukan ibadah pada mereka. Pekerjaan itu bukan ibadah. Di medan politik itu bukan ibadah. Menjadi pemimpin itu bukan ibadah. Menegur pemimpin itu pun bukan ibadah.

Segala yang kita buat, sekiranya ada natijah yang baik, memenuhi keperluan manusia/masyarakat/negara/ummah, dibuat dengan niat yang betul, tidak meninggalkan amalan yang lebih utama adalah ibadah. Bukan sahaja ibadah, tetapi boleh jadi jihad.

Dalam kes TDM ini, apa yang beliau lakukan ialah jihad, bukan sekadar ibadah. Beliau nampak kepincangan dalam pemerintahan yang ada. Bukan sekadar kepincangan biasa (yang memang wujud dalam mana-mana pemerintahan/pentadbiran) tetapi satu kepincangan luarbiasa yang boleh membawa padah, bencana, malapetaka kepada bangsa dan negara jika dibiarkan berterusan.

Saya nampak apa yang beliau nampak. Saya rasa ramai juga rakyat Malaysia yang lain nampak. Saya tidak pelik samasekali dengan tindakan beliau ini. Selagi hayatnya beliau diperlukan. Beliau adalah pemimpin dihantar Tuhan kepada orang Melayu dan negara Malaysia. Sepatutnya tiada istilah pencen atau bersara. Sekiranya beliau bersara sekalipun, kepimpinan beliau tetap diperlukan. Pandangan beliau bukan sahaja didengar tetapi diminta.

SELAMAT BERJUANG DAN MENERUSKAN PERJUANGAN KEPADA KEDUANYA – TDM & Tan Sri Sanusi Junid.

Tuesday, June 10, 2008

Penggunaan Bahasa Inggeris

Polemik tentang mengajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris in pun tidak akan habis-habis.

Yang tidak setuju itu ada dua atau tiga kategori.

Pertama, betul-betul tidak tahu tentang perlunya penguasaan Bahasa Inggeris. Hujah mereka, bangsa lain pun boleh maju tanpa rakyatnya fasih berbahasa Inggeris. Golongan ini masih boleh dimaafkan. Mereka hanya jahil.

Kedua, golongan yang tahu, tetapi ada agenda politik. Mereka ini samada dari kalangan penyokong dan pemimpin parti pembangkang atau sebahagian dari ahli dan pemimpin parti pemerintah sendiri. Mereka menentang semata kerana menentang mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penguasaan bahasa asing atau bahasa luar oleh rakyat negara ini sangat penting. Orang Melayu terutamanya perlu menguasai pelbagai bahasa lain seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil dll.

Destini (matlamat dan peranan) bangsa kita tidak sama dengan bangsa Jepun, Korea, Jerman, Inggeris, Amerika. Peranan mereka memang semata-mata membangunkan kemajuan dalam bentuk kebendaan (teknonolgi, sains, industri). Kita mempunyai peranan yang lebih besar daripada itu. Peranan kita adalah peranan kemanusiaan, iaitu untuk membawa manusia kepada petunjuk hidup yang benar. Untuk ini bahasa memainkan peranan yang sangat penting.

Memang benar, kalau sekadar ingin maju seperti Jepun atau Korea, kita boleh mencapainya tanpa menguasai Bahasa Inggeris dengan begitu meluas seperti bangsa Jepun, Korea dan Jerman. (Tetapi sebenarnya bangsa-bangsa ini menguasai Bahasa Inggeris melebihi dari yang kita sangkakan.)

Sekiranya kita sedar bahawa Bahasa Inggeris itu perlu dikuasai, tidak ada jalan lain untuk membantu pelajar-pelajar kita untuk meningkatkan penguasaan mereka kecuali dengan memaksimakan penggunaan bahasa ini dalam proses pembelajaran mereka.

Pendedahan dan pengajaran melalui subjek Bahasa Inggeris saja tidak memadai. Berapa jam yang dapat diperuntukkan seminggu? Bukankah jadualwaktu mereka telah padat dengan subjek-subjek lain?

Menggandakan masa yang diperuntukkan dalam kelas sekalipun masih tidak memadai. Ini kerana pelajar-pelajar sudah belajar dengan mencukupi nahu Bahasa Inggeris. Mereka perlu memparktikkan atau sekurangnya didedahkan kepada penggunaannya secara terus (direct). Inilah masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar terutama pelajar-pelajar Melayu. Mereka kurang mempraktikkan bahasa ini di luar kelas.

Pelajar kaum Cina atau India tidak mempunyai masalah untuk mempraktikkan Bahasa Inggeris di luar kelas. Bangsa Cina memang terkenal dengan budaya belajar yang tinggi. Mereka akan mempraktikkan bahasa ini di rumah (dengan ahli keluarga atau kawan). Begitu juga pelajar-pelajar India. Di estet sekalipun terdapat kelompok yang boleh berbahasa Inggeris. Pelajar-pelajar tergalak dan terangsang untuk menggunakan bahasa ini di dalam masyarakat.

Keadaannya berbeda dengan pelajar Melayu. Mereka terlalu malu dan segan untuk menggunakan bahasa ini. Malah tidak kurang juga yang diperli dan disindir jika berbuat demikian. (Kecualilah mereka yang tinggal di bandar-bandar dan datang dari keluarga yang agak terpelajar).

Jadi tiada jalan lain sekiranya kita sedar dan serius ingin meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan generasi muda kita. Mereka perlu didedahkan seluasnya kepada penggunaan bahasa ini. Walaupun ini tidak menjamin mereka boleh bertutur, tetapi sekurangnya mereka dapat menguasai perbendaharaan kata yang lebih luas. Dari Matematik mereka belajar perkataan seperti “diameter”, “circumference”, “raduis/radii”, “volume”, “triangle/rectangle/circle” dll. Dari subjek Sains mereka juga akan terdedah dan belajar perkataan-perkataan yang jarang ditemui seharian.

Sebenar pada hemat saya, pelajar perlu belajar lebih dari dua subjek (Matematik dan Sains) dalam Bahasa Inggeris. Lebih banyak, lebih baik. Tetapi yang boleh dikira ideal ialah ‘separuh-separuh’ – 50% dalam Bahasa Inggeris dan 50% dalam Bahasa Melayu/Malaysia. Daripada 8 subjek, 4 hendaklah diajar menggunakan Bahasa Inggeris. (Sebenar ini telah berjalan bagi mereka yang mengambil aliran Sains. Mereka belajar Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Biologi dan Fizik dalam Bahasa Inggeris.)

Pada pandangan saya ini adalah formula yang terbaik buat masa ini. Bagi mereka yang bukan dalam aliran Sains, dua subjek lain eloklah diajar dalam Bahasa inggeris seperti subjek Geografi dll.

(Mungkin agihan ini boleh diubah satu masa nanti, dengan formula 3:3:3, 3 dalam Bahasa Melayu, 3 dalam Bahasa Inggeris dan 3 dalam Bahasa Arab, apabila perlu.)

Memang tidak dinafikan ini akan ‘menambah beban’ kepada guru-guru. Ia menyusahkan di peringkat awal. Tetapi guru-guru perlu bersikap positif dan optimistik. Ini peluang yang baik untuk mereka juga untuk belajar dan menguasai Bahasa inggeris. Kebanyakan guru-guru hari ini memang kurang boleh menguasai Bahasa inggeris dengan sebaiknya. Ini akan memaksa mereka terus belajar bahasa ini. Budaya belajar sepanjang hayat itu akan bercambah dan hidup dikalangan mereka.

Tidaklah semestinya juga guru-guru terus dikehendaki mengajar 100% menggunakan Bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa campuran boleh dilakukan di peringkat awal. Tetapi buku teks eloklah disediakan dalam Bahasa Inggeris.

Memang tidak wajar kita mengadakan kembali sekolah sepenuhnya dalam aliran Inggeris seperti dahulu. Mengadakan sekolah aliran kebangsaan dan aliran Inggeris akan mewujudkan kembali jurang yang tidak sihat, terutama di antara bandar dan luarbandar.

Saturday, June 7, 2008

Melayu Mudah Lupa dan Tidak Pernah Belajar

MELAYU MUDAH LUPA. ATAU TIDAK PERNAH BELAJAR?

Nampaknya begitulah. Orang Melayu rata-rata tidak pernah belajar. Bukan sahaja tidak pernah belajar, tetapi tidak mengambil pengajaran.

APA BOLEH BUAT. Tunggu sajalah satu demi satu bala menimpa. Sampai tiada apa yang tinggal atau hanya tinggal tanah sekangkang kera.

Pelupa macamana pun bangsa ini janganlah lupakan tarikh-tarikh di bawah ini. Pahatlah ia dalam ingatan kita terutama dalam ingatan golongan pemimpin.

1511 Melaka jatuh ke tangan Portugis hanya selepas 110 tahun.
1784 Kerajaan Melayu Patani jatuh ke tangan Siam.
1786 Pulau Pinang diserahkan kepada Inggeris (Francis Light).
1819 Singapura diserahkan kepada Inggeris (Stamford Raffles)
1874 Perjanjian Pangkor – bermulanya penguasaan Inggeris di tanah besar Semenanjung.
1965 Singapura dilepaskan kepada Lee Kuan Yew.
2008 Kehilangan Pulau Batu Putih.

Bukan sekadar kita kehilangan wilayah sebelum ini. Sekiranya kita terus lupa, kita akan kehilangan lagi.

???? Kehilangan Selatan Johor (Wilayah Iskandar, Iskandar Malaysia atau apa-apa nama)
???? Utara Malaysia (mungkin dituntut oleh jiran sebelah utara)
???? Sabah dan Sarawak (mungkin dituntut oleh jiran sebelah timur)

Disamping tarikh-tarikh di atas, jangan lupa satu lagi tarikh, iaitu 2004. Bukan kerana Tsunami, tetapi pada tahun itulah berlakunya kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya umum yang membawa bencana bukan sahaja kepada pembangkang pada masa itu, tetapi juga kepada UMNO, Barisan Nasional dan rakyat serta negara sendiri pada hari ini.

Wednesday, June 4, 2008

Sudah Lupa atau Tidak Pernah Belajar?

Golongan pemimpin kita seolah sudah lupa sejarah.

Atau memang tidak pernah belajar?

Bangsa atau manusia yang tidak belajar dari sejarah atau melupainya pasti akan mengulanginya. Begitulah lebih kurang kata-kata George Santayana, seorang ahli filasafah.

Sejarah malang masa lampau pasti berulang. Kecualilah Tuhan tidak menghendakinya.

Kita atau lebih tepat pemimpin kita sudah lupa atau tidak pernah tahu sejarah sendiri. Boleh jadi tidak pernah tahu, kerana tidak ramai yang mengkaji sejarah masa lalu.

Mengapakah penjajah Portugis datang menakluk Kerajaan Melayu Melaka? Adakah mereka datang semata-mata kerana perdagangan dan untuk menyebarkan agama?

Mengapakah mereka berjaya? Mengapakah kerajaan Melaka tewas dengan mudah? Mengapakah ia runtuh dalam waktu yang singkat?

APAKAH SALAH DAN SILAPNYA BANGSA MELAYU, TERUTAMA GOLONGAN PEMIMPINNYA, YANG MENYEBABKAN INI BERLAKU?

Penjajah datang lagi untuk kali kedua sekitar abad ke 19. Kali ini penjajah British pula menguasai negeri-negeri Melayu yang tertubuh kemudian selepas Melaka, seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Mengapa dengan mudah negeri-negeri Melayu dikuasai mereka?

Mengapakah negeri-negeri Melayu lain di sebelah utara jatuh ke tangan kuasa Siam? Mengapakah dengan mudah luang-luang (pembesar) Siam dapat menewaskan kerajaan-kerajaan Melayu tersebut?

Banyak kita yang mengkaji fakta sejarah hanya nampak kepada kesalahan golongan penjajah yang merampas dan meruntuhkan kekuasaan bangsa kita. Mereka dilihat sebagai puak yang jahat dan bangsa kita dilihat sebagai golongan yang teranianya. Tidak mungkinkah kita yang menganianya bangsa kita sendiri? Tidak mungkinkah golongan pemimpin kita telah melampaui batas dalam urusan pemerintahan?

TIDAK MUNGKINKAH KEDUA ARUS KEDATANGAN PENJAJAH INI ADALAH UNTUK MEMBEBASKAN BANGSA KITA DARI TIIRANI BANGSANYA SENDIRI?

Hari ini kita bebas dan merdeka semula. Selama hampir 50 tahun negara ini diperintah oleh golongan awam di bawah sistem demokrasi. Dalam tempoh yang singkat (50 tahun dari 500 tahun lebih), sudah terdapat tanda-tanda wujudnya KETIDAKAMANAHAN golongan pemimpin bangsa ini. Kepentingan diri/peribadi dengan mudah diletakkan di atas kepentingan bangsa/rakyat/negara.

Dan sudah ada tanda-tanda wujud usaha ke arah mewujudkan satu tirani dalam kepimpinan bangsa ini. Parti yang menerajui pemeritahan negara dan kepimpinan bangsa sedang dalam proses dikuasai oleh golongan tertentu, yang sekiranya berjaya akan menguasai parti dan negara secara mutlak. Satu bentuk tirani baru akan wujud.

Sekiranya di masa lampau bangsa ini diperintah secara mutlak oleh golongan raja, kali ini ia akan diperintah secara mutlak oleh golongan yang bersifat diktator dari golongan awamnya sendiri.

Masih tidak serikkah bangsa ini dengan corak pemerintahan mutlak yang menggigit masa lampau? Sudah tidak serikkah bangsa ini terpaksa dijajah (oleh bangsa asing) untuk membebaskannya dari tirani bangsanya sendiri?

Mahukah ia berada kembali di bawah pemerintahan tiranikal (tyrannical rule), walaupun oleh bangsanya sendiri? Mahukah ia dijajah untuk kali ketiga oleh orang orang luar?

Sekiranya penjajah yang datang dalam dua ombak (1500an dan 1800an) akhirnya keluar akibat suasana/imperatif politik dunia yang menghendaki demikian selepas perang dunia kedua, akan keluarkah penjajah baru ini nanti? Tidak mungkinkah mereka akan kekal selama-lamanya? Tidak mungkinkah kita kehilangan negara ini secara kekal seperti mana kita kehilangan Singapura dan wilayah-wilayah di selatan Thailand?

LUPAKAH KITA TRAGEDI BURUK INI? MAHUKAH KITA IA BERULANG?

Insaf dan berfikirlah. Janganlah kerana jawatan dan wang ringgit, kita sanggup menggadai negara. Generasi yang akan datang akan mengutuk kita. Tuhan akan melaknati kita.

Tuesday, June 3, 2008

Pesanan kepada Pemimpin

Sejarah buruk seperti mahu berulang kembali dengan bangsa ini.

Seolah begitulah yang akan berlaku.

Malah inilah yang akan berlaku jika nasib bangsa ini diserahkan kepada kebanyakan pemimpin yang ada.

TETAPI INI TIDAK AKAN BERLAKU.

Tuhan tidak akan mengizinkannya berlaku. Sekiranya berlaku memang malang semalang-malangnya nasib bangsa ini.

Tragedi penjajahan oleh bangsa Barat masih ada baiknya. Seperti dikatakan oleh Pendeta Za’aba, penjajah itu adalah tentera Tuhan yang menyelamatkan bangsa ini dari tirani bangsanya sendiri.

Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang meletakkan kepercayaan kepada golongan pemimpin mereka. Bangsa ini bukanlah golongan yang gemar memberontak terhadap pemerintah mereka. Pemberontakan itu bukan sebahagian dari watak dan budaya bangsa ini. Sepanjang sejarahnya ia adalah satu bangsa yang taat dan patuh, walaupun diperintah secara kejam dan zalim. Hanya sekali berlakunya regicide (pembunuhan raja), iaitu pada tahun 1699 di mana seorang sultan dibunuh oleh orang kebanyakan.

Tetapi ketaatan dan kepatuhan ini boleh disalahgunakan oleh golongan yang diberi kepercayaan.

Bagaimana sekiranya golongan yang dipercayai tidak amanah kepada kepercayaan yang diberi? Bagaimana sekiranya golongan pemimpin bukan sahaja gagal menjaga kepentingan bangsa, tetapi sanggup mengorbankan bangsa untuk kepentingan sendiri?

Tuhan akan campurtangan.

Tuhan pasti akan campurtangan. Seperti Tuhan campurtangan menyelamatkan Kota Makkah dari tentera gajah Abrahah sebelum kelahiran Nabi Muhammad dahulu. (Memang tidak akan ada burung-burung yang melontarkan batu seperti ketika itu, tetapi Tuhan ada caranya...)

Tuhan tidak akan mengizinkan bangsa ini dikhianati oleh golongan pemimpinnya dan juga golongan unscrupulous politicians (ahli politik tidak bermoral yang tidak teragak berbuat apa saja untuk kepentingan diri mereka). Usaha mereka pasti akan terhalang akhirnya.

Sesiapa yang berhasrat menunggang bangsa ini hingga ke tahap mengkhianatinya pasti akan dihalang Tuhan. Mereka pasti kecundang. Dan mungkin dilaknati oleh Tuhan dan manusia.

Pada keputusan pilihanraya umum baru-baru ini pun sudah ada tanda-tanda campurtangan Tuhan. Sekiranya tidak berlaku apa yang berlaku, sudah pasti agenda golongan tertentu semakin hampir menjadi kenyataan.

Jangan sekali-kali lupa, kita merancang, Tuhan pun merancang. Ada hasrat kita yang diizinkan menjadi kenyataan, tetapi ada perancangan kita secanggih dan sehebat mana pun yang digagalkan. Wang berkapal pun tidak akan bermakna.

Janganlah kita terbawa-bawa oleh kemahuan dan keinginan yang tidak sepatutnya. Apa lagi kemahuan dan keinginan itu membawa bencana kepada bangsa dan negara. Janganlah kita memupuk cita-cita yang tidak sewajarnya. Janganlah kita bercita-cita ingin jadi raja atau “emperor”, seperti Napoleon satu ketika dahulu. Janganlah keinginan kita kepada tahta dan kuasa menyebabkan kita sanggup melakukan apa saja, sehinggakan mengorban dan menggadai negara.

Kembalilah kepada perjuangan mendaulatkan bangsa, negara dan ummah. Gunakan kehebatan kita samada berbentuk material atau bukan-material untuk kebaikan bangsa, negara dan ummah. Bukan untuk ego. Bukan untuk diri, bukan untuk kepentingan peribadi. Bukan untuk lain-lain seperti ingin membina dinasti.

Sunday, June 1, 2008

Kemelut Islam Hadhari

MELAYU OH MELAYU!

Tidak habis-habis kemelut dan polemik politik bangsa ini. Memang bangsa yang belum mencapai kelas satu (atau dua) begini ragamnya. Pertikaian demi pertikaian. Fikirannya berserabut dan keliru. Bukan sahaja keliru tetapi mengelirukan.

Di manakah cerdikpandai-cerdikpandai bangsa ini? Di manakah alim-ulama yang sebenar?
Islam Hadhari baru saja diharamkan di Selangor.

Itu sajakah kebolehan dan kepandaian ahli agama kita – menjatuhkan hukum? Mengharamkan? Memfatwakan orang sesat?

Sebenarnya tidak ada salah pada istilah ISLAM HADHARI.

Islam itu luas. Ada Islam Asas atau Ritual. Ada Islam Perundangan. Ada Islam Spiritual. Ada Islam Hadhari (atau Madani atau Ketamadunan).

Ia hanya merujuk kepada aspek yang berbeza. Seperti juga mazhab fekah. Setiap mazhab itu merujuk kepada pentafsiran yang berlainan terhadap bab yang berkaitan dengan hukum hakam atau fekah. Salahkah dinamakan Mazhab Shafie, Mazhab Hanbali, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dll?

Begitu juga dengan keseluruhan agama itu. Apa yang diamalkan oleh orangramai hari ini hanyalah Islam yang di peringkat asas sahaja. Kalau diberi nama ia boleh dinamakan Islam Asasi. Atau Islam Ritual. Kebanyakannnya berkaitan dengan pengamalan ibadah fardhuain.

Terdapat lagi banyak tuntutan dan ajaran agama yang lebih tinggi dari ini, yang termasuk dalam bab fardhukifayah.

Antaranya ialah soal kemajuan (atau ketamadunan) dan perundangan.

Disebut atau tidak disebut pun apa yang diperjuangkan oleh PAS hari ini ialah ISLAM PERUNDANGAN. Walaupun mereka mendakwa memperjuangkan Islam yang syumul tetapi realitinya tindakan mereka adalah terhad dan terjurus kepada aspek perundangan iaitu menegakkan hukum di peringkat negara. (Sesuai atau tidak diperjuangkan pada masa ini atau boleh atau tidak diperjuangkan secara berasingan itu satu persoalan lain.)

Begitu jugalah halnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan ketamadunan. Buah akhir perjuangan Islam yang sebenar adalah tertegaknya satu tamadun di atas muka bumi ini. Inilah yang pernah berlaku sebelum ini. Perjuangan Islam yang bermula di sekitar tahun 600-700 melahirkan satu tamadun baru dunia. Kemuncaknya ialah di sekitar tahun 1300-1400. Aspek ini kalau diambil secara serpihan boleh dipanggil ISLAM HADHARI. Iaitu mengamalkan ajaran Islam yang melibatkan elemen kemajuan dan menjurus kepada terbentuknya satu tamadun.

Yang salahnya ialah pihak yang mempeloporinya gagal meng’formulate/articulate’ idea hadhari/ketamadunan yang sebenarnya. Ideanya benar, isinya tiada. Ada, tetapi hanya perkara biasa sahaja. Kulit tanpa isi yang sebenar. Setakat 10 prinsip yang diketengahkan itu belumlah boleh dikatakan prinsip hadhari/ketamadunan. “There is nothing special and nothing civilisational about it.” Tidak ada yang istimewanya. Tidak ada apa yang dikatakan hadhari.

Selain kelemahan dari segi ‘formulation/articulation’ idea tersebut, terdapat kecenderungan oleh pihak yang mempeloporinya menggunakannya untuk tujuan politik - mempolitikkannya. Di sana-sini dilaungkan istilah ini. Dibangunkan ‘billboard-billboard’. Di adakan seminar-seminar tentangnya. Diadakan Perkampungan Hadhari. Dan dikaitkan pula Islam Hadhari itu dengan ciptaan atau ilham seseorang pemimpin.

Tetapi orang tidak nampak apa-apa. Tidak memberi apa-apa panduan. Kalau dikaitkan dengan kemajuan, sebelum ini pun sudah ada kemajuan. Sudah ada agenda kemajuan. Agenda kerajaan sejak dari dulu lagi pun memang membangunkan kemajuan. Jadi apa istimewanya Islam Hadhari?

Ada. Tetapi tidak ramai orang yang nampak. Apa yang diperkatakan hanyalah kulitan (kulit-kulit) sahaja. Isinya tiada.

Walaupun tidak sempurna ‘articulation/formulation’ idea ini, tetapi ia tetap idea yang benar. Ini yang menyebabkan pihak pembangkang (PAS) menjadi tidak senang.

Islam Hadhari yang sebenar (bukan sekadar yang diketengahkan setakat ini) adalah penghayatan Islam di tahap lebih luas dan lebih tinggi selepas Islam Asasi/Ritual. Ini bertentangan dengan agenda PAS yang menjadikan penegakan Negara Islam (Perundangan Islam) matlamat perjuangannya.

Inilah saya rasa punca utama PAS menentang idea ini habis-habisan. Ia memfatwakan bahawa Islam Hadhari itu satu ajaran baru Islam yang sesat dan menyesatkan.

Inilah kesannya kalau kita tidak ikhlas mencari kebenaran. Lebih parah sekiranya kita telah tersasar dari segi pemikiran. Sekiranya kita ikhlas, kita akan nampak duduk sebenarnya sesuatu perkara dan bersedia membetulkannya. Tetapi jika sendiri pun ada kepentingan politik, kita akan menggunakan otoriti kita sebagai golongan yang alim tentang agama dan mengeluarkan hukum dan fatwa yang tidak sewajarnya.

P.S.
Sebenarnya istilah Islam Hadhari ini telah digunakan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri lagi. Seorang tokoh agama, kalau tidak silap saya Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad telah membentangkan satu kertaskerja yang menyebut perkara/istilah ini di seminar Malaysia Negara Islam di Shah Alam. Tetapi idea ini telah di”hijack” dan dijadikan satu agenda politik negara.