Tuesday, May 6, 2008

Negara Islam vs Tamadun Islam

ADAKAH MENEGAKKAN NEGARA ISLAM ITU MATLAMAT PERJUANGAN YANG BENAR?

Ya? Tidak? Tidak tahu?

Apa pendapat saya?

Saya menyatakan bahawa perjuangan kita (umat Islam) adalah untuk membangun Tamadun Islam, bukan Negara Islam.

Adakah perbezaan diantara Negara Islam dan Tamadun Islam?

Banyak dan jauh bezanya.

Negara Islam adalah negara yang melaksanakan perundangan Islam. (Inilah kefahaman yang wujud pada penyokong (exponent) idea ini.) Sebenarnya apa yang wujud sebelum ini dalam sejarah bukanlah Negara Islam tetapi hanyalah masyarakat Islam yang telah mencapai tahap kematangan tertentu yang membolehkan undang-undang Islam seperti Hudud dilaksanakan.

Masyarakat Islam (yang terlaksana dalamnya undang-undang Islam) hanyalah sebahagian daripada Tamadun Islam. Kewujudannya adalah ‘incidental’ (happening or existing in connection with something else that is more important) semata-mata. Ia bukan sesuatu yang diperjuangkan atau dijadikan matlamat perjuangan.

Tamadun Islam adalah manifestasi penyempurnaan perlaksanaan dan penghayatan Islam dalam kehidupan secara individu dan secara kolektif. Ia merupakan mercu pencapaian umat.

Negara Islam (itu pun kalau ada), hanyalah sebahagian dari Tamadun Islam.

Polemik tentang Negara Islam ini tidak akan berakhir. Hanya masa yang akan menentukan kepalsuannya sebagai satu idealisma atau matlamat perjuangan. Saya rasa tidak perlulah kita menunggu masa tersebut untuk mengetahui benar salahnya. Ilmu boleh menyuluh jawapannya awal-awal lagi. Kita tidak perlu membuang masa dan tenaga untuk mengusahakan sesuatu tidak perlu diusahakan sedeimikian rupa (dijadikan manifesto pilihanraya dsbnya).

Walaupun kita berkeras untuk berbuat demikian, perjuangan untuk menegakkannya akan menghadapi berbagai rintangan. Ia akan ditentang oleh bukan sahaja orang bukan Islam tetapi juga orang Islam sendiri (tidak semestinya yang menentang itu jahil, seperti dituduh). Sebabnya mudah - ia bukan satu idea yang benar. Ia lahir dari pemikiran yang kabur/keliru atau kurang luas dan kurang mendalam.

Apa yang lebih utama ialah kita benar-benar berusaha memahami kehendak dan tuntutan Tuhan ke atas kita di zaman ini. Kehendak ini jika difahami adalah lebih luas dan dalam skopnya dari apa yang difahami oleh sebahagian kita dan diperjuangkan hari ini. Secara otomatik (incidental), masyarakat yang melaksanakan hukum Tuhan itu akan terbentuk disamping pencapaian yang gilang-gemilang lainnya dalam kehidupan.

Dunia memerlukan satu tamadun baru. Tamadun Islam pertama yang diasaskan oleh bangsa Arab telah hancur. Kini Tamadun Barat yang berasaskan kebendaan berada dipuncak dan menguasai dunia. Masanya telah tiba untuk satu tamadun baru yang berasaskan kerohanian (makna dan tujuan sebenar hidup) terbangun di atas muka bumi ini.

Inilah perjuangan kita sebenarnya, kalau kita sedar. Kita perlu memulakan langkah ini dengan MEMBINA MANUSIA YANG MEMBINA TAMADUN. Kita perlu tahu apakah ciri-ciri manusia ini dan bagaimanakah cara melahirkannya.

Inilah jihad kita di abad ke 21. Inilah perjuangan kita yang sebenarnya.

No comments: