Tuesday, May 13, 2008

Bersara Wajib 58 Tahun

SATU BERITA YANG MENGEMBIRAKAN?

Ada yang gembira tetap tidak semua. Ramai juga yang tidak gembira seperti yang disangkakan.

Ada yang gembira – atas beberapa sebab.

Pertama, ada sebab yang “genuine” (benar). Tenaga dan kepakaran mereka masih diperlukan. Mereka masih bertenaga untuk terus berbakti dan berjasa kepada bangsa dan negara. Mungkin mereka memerlukan tambahan masa lebih dari sekadar 2 tahun. Tetapi bilangan mereka ini adalah kecil.

Kedua, ada yang mempunyai sebab kurang “genuine” (benar). Kehadiran mereka sebenarnya tidak banyak menyumbang. Mereka lebih banyak mengambil dari memberi. Gaji dan elaun yang besar tidak setimpal dengan sumbangan. Kerja yang mudah sebagai ketua tetapi dengan sumbangan tidak seberapa. Dua tahun merupakan masa tambahan untuk ‘memanjat tangga’ yang lebih tinggi. Mungkin untuk mencapai jawatan tertinggi seperti JUSA dsbnya.

Tidak kurang juga yang tidak gembira. Malah sangat tidak gembira.

Ramai yang ‘sudah letih’ dan bosan sebenarnya. Tidak tahan bergelut dengan kerja-kerja membosankan. “They have had enough”. “Mundane and uninspiring work”. “Paperwork, paperwork and more useless paperwork”. “Meeting, meeting and more unproductive meetings”. Disamping ada yang merasakan ingin membuat sesuatu yang lain dalam hidup mereka.

Kerajaan telah membuat keputusan dan kerajaan ada sebab tersendiri untuk menyambung dua tahun lagi tempoh persaraan wajib.

Pada pandangan saya, umur persaraan wajib perlu diturunkan, bukan dinaikkan.

Memang saya menyedari terdapat mereka yang perlu berkhidmat lebih lama – 60, 70 atau pun sehingga ajal menjemput pergi. Mereka terdiri dari kakitangan yang mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan dan mereka yang berpendapatan agak rendah yang masih perlu menyara keluarga (anak-anak yang masih bersekolah).

Selain dari golongan di atas, terdapat mereka perlu bersara lebih awal atas sebab:

- tidak banyak menyumbang kepada pekerjaan (dan mereka sudah mampu menyara hidup dengan wang pencen, KWSP, saguhati)
- mereka yang perlu menceburi bidang lain seperti perniagaan, pertanian dsbnya.

Saya ingin mengulas lebih panjang sebab yang kedua.

Kita ingin lebih ramai bumiputra menyertai bidang perniagaan. Disamping mereka yang menceburi bidang ini dari awal, kakitangan yang bersara awal adalah diantara golongan yang berpotensi besar untuk menceburi bidang ini dan berjaya. Mereka memiliki kelebihan seperti:

- modal (atau mudah untuk mendapatkan modal)
- saraan hidup yang tetap (lebih berani mengambil risiko)
- rangkaian (networking) yang dibina semasa bekerja
- kesedaran yang lebih tinggi untuk membela bangsa
- kesediaan untuk mempelajari bidang baru (perniagaan, pertanian/penternakan dsbnya)
- idea-idea yang praktikal.

Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menceburi bidang perniagaan? Sebahagian besar siswazah yang baru keluar dari IPT tidak bersedia atas beberapa sebab. Golongan lain mungkin tidak memiliki persiapan yang diperlukan.

Bukan sahaja menceburi perniagaan (tidak semua orang mampu dan minat), tetapi mereka juga boleh menceburi bidang lain seperti pertanian, pendidikan (secara bersendirian), penulisan dll.

Sebahagian dari mereka memiliki tanah-tanah di kampung atau sekiranya tidak, boleh membelinya. Setakat ini banyak tanah-tanah di kampung terbiar tanpa diusahakan. Penduduk-penduduk kampung tidak memiliki modal (dan modal paling besar ialah kesedaran) untuk membangunkan tanah-tanah terbiar ini. Golongan muda, disamping juga tiada modal, mungkin juga ingin mencuba nasib mereka di bandar-bandar.

Alangkah baiknya sekiranya kakitangan kerajaan (yang kebanyakannya berasal dari kampung) pulang ke kampung masing-masing berbekalkan modal idea dan kesedaran serta modal kewangan untuk memajukan tanah-tanah yang terbiar.

Inilah saja diantara cara yang ada untuk menyelesaikan masalah tanah-tanah yang terbiar disamping meningkatkan hasil pertanian (makanan) untuk keperluan negara.

Kerajaan telah membuat keputusan untuk menaikkan lagi umur persaraan wajib. Tiada apa boleh kita buat. Tetapi pilihan masih lagi di tangan kita. Berlaku jujurlah pada diri sendiri. Sekiranya kita merasakan memang perlu meneruskan perkhidmatan (kerana khidmat kita sangat diperlukan), teruskanlah. Tetapi sekiranya tidak, gaji dan elaun yang kita miliki tidak setimpal dengan sumbangan (banyak kerja yang ‘main-main’ seperti mesyuarat yang tidak perlu, lawatan yang tidak berfaedah, upacara-upacara yang hanya membuang masa dsbnya) adalah lebih baik kita mengambil pencen awal/pilihan.

Memang susah untuk membuat pilihan ini. Bukan senang untuk berada dikampung (kecuali semasa cuti) setelah bertahun-tahun di bandar. Pengorbanan kita sangat diperlukan. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu berhijrah balik ke kampung (walaupun inilah yang terbaik) untuk membuka dan mengusahakan tanah-tanah terbiar.

Dengan komunikasi yang ada hari ini (dan jenis kenderaan yang dimiliki) yang canggih dan selesa, berulang-alik dari bandar ke kampung tidaklah menjadi masalah besar. Kalaupun kampung kita sendiri terlalu jauh, kita masih boleh membeli dan mengusahakan tanah di kampung-kampung yang terdekat dengan bandar yang kita diami.

Gagal berbuat demikian kita bersalah pada diri sendiri (dan mungkin pada Tuhan). Kita terlepas peluang untuk berbuat sesuatu yang bermakna dalam hidup kita. Dan juga terlepas peluang untuk berbakti pada kampung halaman tempat kita dilahir dan dibesarkan. Dan terakhir dan tidak kurang penting, usaha seperti pertanian bukan sahaja menguntungkan dan membantu negara, tetapi adalah satu cara untuk menjaga kesihatan yang paling baik dan berkesan.

Di ujung usia, kesihatan adalah lebih berharga dari wang ringgit. Semasa muda kita mengorbankan kesihatan untuk wang, di masa tua kita mengorbankan wang untuk kesihatan.

No comments: