Saturday, May 3, 2008

Mengapa Kita Terlalu Ghairah Berpolitik?

Mengapa orang Melayu sangat ghairah berpolitik?
Mengapa orang Melayu begitu ghairah hendak menjadi ketua/pemimpin/pemerintah?

Tua atau muda, lelaki atau wanita sama-sama ghairah.
Golongan agama pun tidak ketinggalan (sehingga mengabaikan tugas mereka mendidik dan membimbing umat).
Yang baru setahun jagung masuk politik sudah berangan hendak jadi pemimpin.
Budak sekolah pun mungkin menyimpan cita-cita yang sama.

Mereka seolah tidak peduli samada mereka layak atau tidak - layak atau tidak, soal kedua.
Apa saja cara akan gunakan untuk mendapatkan kuasa.
Golongan “sekular” dengan cara mereka, golongan “tidak sekular” (agama) dengan cara mereka meraih pengaruh dan kuasa.
Tindakan yang salah pun seperti dihalalkan.

Mereka pun tidak peduli tindaktanduk mereka boleh membawa malapetaka dan kesusahan kepada negara dan rakyat.
Mereka langsung tidak peduli.
Penyokong pun menyokong “buta” sahaja.

Dibandingkan dengan kaum lain di negara ini atau bangsa lain di dunia, terdapat satu keghairahan yang berlebihan (bahkan melampau) kepada kuasa di kalangan orang Melayu.
Kalau suatu hari dulu negara seperti India dan Jepun ketandusan calon untuk jadi Perdana Menteri, di sini tidak.
Ramai orang (kalau tidak pun semua), merasakan dirinya layak.
Kalau Perancis melahirkan seorang Napoleon (“power-seeking and seeking power for the sake of power individual”) dalam tempoh lebih kurang 250 tahun, di negara ini terdapat lebih dari satu Napoleon dalam tempoh yang singkat (lebih kurang 25 tahun).

Mengapa jadi begini?

Mesti ada sebab.
Saya pun berharap saya tahu sebab yang sebenarnya.
Tetapi, tidak.
Tiada buku yang ditulis tentang ini.
Mungkin ada yang lebih tahu dari saya.

Pada pandangan saya, mungkin ada dua sebab besar – faktor sejarah dan kekurangan ilmu.

Pertama, SEJARAH.
Kerana selama beratus tahun (atau mungkin beribu) orang awam (rakyat biasa) hidup di bawah sistem pemerintahan yang mutlak – samada di bawah raja/sultan atau pun penjajah.
Di bawah sistem ini memang tidak wujud langsung peluang untuk orang awam untuk menjadi pemerintah (kecuali mereka dari kalangan bangsawan).
Ada sesuatu yang terpendam – seperti sesetengah remaja yang baru bebas dari kongkongan/kekangan keluarga untuk menetap di bandar.
Inilah masanya!

Kedua, KEKURANGAN ILMU.
Kerana dalam tempoh kemerdekaan yang singkat (50 tahun) belum banyak yang kita dipelajari tentang kepimpinan.
Mungkin ada belajar, tetapi teori-teori sahaja.
Teori yang dipelajari pun mungkin tidak relevan.
Kita tidak/kurang melihat jawatan pemimpin sebagai amanah Tuhan.
Ia seperti jawatan lain yang dijadikan rebutan.
Untuk habuan (gaji, elaun dll)
Bahkan masih ada yang menganggap mereka terlantik menjadi menteri kerana Tuhan hendak memberikan rezeki (wang ringgit) – betapa salahnya pemikiran!
Soal amanah/tanggungjawab itu perkara kedua atau ketiga atau ungkapan di lidah sahaja.
Manakala golongan agama pula menganggap ini sajalah caranya untuk menegak dan memperjuangkan agama.
Tetapi bolehjadi sama saja macam orang lain - keseronokan berkuasa.

Mungkin, ada faktor ketiga.
Faktor “GENE”.
Mungkin terdapat “Gene” yang “craze for power” dalam tubuhbadan bangsa ini.
Mungkin, siapa tahu?

Mungkin ada diantara kita yang mengkaji hal ini, dan lebih mengetahui.
Kalau belum ada, saya cadangkan buatlah satu kajian di peringkat sarjana atau PhD tentang hal ini – sangat perlu untuk kebaikan bangsa ini.

1 comment:

Anonymous said...

Mengapa Kita Terlalu Ghairah Berpolitik

Kita tidak boleh mengatakan orang Melayu terlalu ghairah berpolitik....hanya kerana kita asyik didedahkan dan dimomokkan oleh media massa yang majoritinya berbahasa melayu...adakah kita mengikuti perkembangan dan isu-isu media massa berbahasa cina dan india? Kedua-dua bangsa inipun tidak kurang ghairah politiknya dan mungkin lebih 'ganas' dan 'bergegar' dari kita. Cuma kita sahaja yang tidak tahu.....maka terhukumlah keputusan di pilihanraya yang lalu...orang melayu terkapai-kapai,tercengang-cengang tidak percaya .....tidak sampai 2/3 ahli parlimen kini berbangsa melayu islam. ' KITA GHAIRAH TAPI BANGANG...BANGSA LAIN GHAIRAH TAPI BIJAK '. Maaf jika terkasar bahasa...tetapi inilah realitinya.

Saudara Suhaimi mempunyai 'point' dalam membicarakan isu ini. Masyarakat melayu memang suka berpolitik...samada ghairah atau tidak itu soal ke dua. Cuma orang kita lebih berpolitik di 'kedai kopi' dari bangsa lain. Kita dibolehkan dan digalakkan untuk ghairah berpolitik jika hala-tuju kita demi kepentingan umum dan bukannya peribadi atau cuma 'tin kosong'. Membicarakan mengenai ghairah politik, masyarakat melayu kita boleh dibahagikan kepada anasir :
1. Rakyat biasa ( tidak menyokong mana-mana parti politik ) - mereka ini juga ghairah berpolitik , cuma cakap mereka kadang2 macam tidak serupa bikin, berdegar2 dan tiada kesudahannya. Dan ada juga idea-idea mereka yang boleh dipakai tetapi tidak ke mana perginya disebabkan tidak disalurkan ke saluran yang betul, hanya berdegar2 di kalangan mereka. Hanya mereka sahaja yang betul. Itulah kadang-kadang golongan ini digelar ' syok sendiri'.
2. Rakyat biasa ( Penyokong kuat parti ) - mereka ini sudah semestinya memerlukan tahap kegairahan yang maksimum. Kegairahan ini diperlukan atas banyak sebab - membodek 'boss', menjaga 'survival' diri dalam parti, menjaga kepentingan peribadi dalam parti serta juga boleh menggerunkan pihak lawan samada intra parti ataupun inter parti. Berbagai cara dan kaedah akan digunakan untuk mencapai matlamat masing-masing. Tetapi ada juga yang ikhlas dalam hal ini.
3. Rakyat biasa ( pembangkang kuat parti lawan )- mereka ini dilihat seolah-olah 'perwira' atau 'pejuang' oleh pihak atasan mereka. Keghairahan mereka amat dituntut demi parti. Keghairahan mereka kadang2 melampaui batas - agama dan adat. Selalunya golongan ini mudah diperdaya dan disalahgunakan oleh pihak2 atasan yang pandai mengambil kesempatan demi mencapai hasrat parti atau peribadi.
4. Pemimpin - mereka ini sukar ditentukan tahap serta kebenaran ghairah mereka. Keghairahan mereka juga ada polanya....dekat2 pilihanraya/pemilihan calon keghairahan mereka teramat tinggi...lepas pilihanraya/pemilihan calon sejuk dan beku. Ramai pemimpin yang tersepit di antara perjuangan sendiri(prinsip diri) dan perjuangan parti....jadi keghairahan pun berubah2 serta tidak ikhlas akhirnya. Mereka ini berghairah atas banyak sebab dan yang majoriti cuma untuk menarik perhatian dan sokongan penyokong....itulah sebabnya kita dapat melihat ramai pemimpin 'cakap berdegar2' di parlimen tapi adakah tanggungjawab terhadap rakyat di kawasannya juga dilaksanakan berdegar2.

Kesimpulannya : Masyarakat melayu perlulah bijak berpolitik. Berpolitik jika secara ghairahpun hendaklah jelas hala-tujunya dan berwawasan serta bijak pertimbangannya demi masa depan agama, bangsa dan negara kita.

Sekian

Anak Watan71
6May2008 @ 1345