Wednesday, June 4, 2008

Sudah Lupa atau Tidak Pernah Belajar?

Golongan pemimpin kita seolah sudah lupa sejarah.

Atau memang tidak pernah belajar?

Bangsa atau manusia yang tidak belajar dari sejarah atau melupainya pasti akan mengulanginya. Begitulah lebih kurang kata-kata George Santayana, seorang ahli filasafah.

Sejarah malang masa lampau pasti berulang. Kecualilah Tuhan tidak menghendakinya.

Kita atau lebih tepat pemimpin kita sudah lupa atau tidak pernah tahu sejarah sendiri. Boleh jadi tidak pernah tahu, kerana tidak ramai yang mengkaji sejarah masa lalu.

Mengapakah penjajah Portugis datang menakluk Kerajaan Melayu Melaka? Adakah mereka datang semata-mata kerana perdagangan dan untuk menyebarkan agama?

Mengapakah mereka berjaya? Mengapakah kerajaan Melaka tewas dengan mudah? Mengapakah ia runtuh dalam waktu yang singkat?

APAKAH SALAH DAN SILAPNYA BANGSA MELAYU, TERUTAMA GOLONGAN PEMIMPINNYA, YANG MENYEBABKAN INI BERLAKU?

Penjajah datang lagi untuk kali kedua sekitar abad ke 19. Kali ini penjajah British pula menguasai negeri-negeri Melayu yang tertubuh kemudian selepas Melaka, seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Mengapa dengan mudah negeri-negeri Melayu dikuasai mereka?

Mengapakah negeri-negeri Melayu lain di sebelah utara jatuh ke tangan kuasa Siam? Mengapakah dengan mudah luang-luang (pembesar) Siam dapat menewaskan kerajaan-kerajaan Melayu tersebut?

Banyak kita yang mengkaji fakta sejarah hanya nampak kepada kesalahan golongan penjajah yang merampas dan meruntuhkan kekuasaan bangsa kita. Mereka dilihat sebagai puak yang jahat dan bangsa kita dilihat sebagai golongan yang teranianya. Tidak mungkinkah kita yang menganianya bangsa kita sendiri? Tidak mungkinkah golongan pemimpin kita telah melampaui batas dalam urusan pemerintahan?

TIDAK MUNGKINKAH KEDUA ARUS KEDATANGAN PENJAJAH INI ADALAH UNTUK MEMBEBASKAN BANGSA KITA DARI TIIRANI BANGSANYA SENDIRI?

Hari ini kita bebas dan merdeka semula. Selama hampir 50 tahun negara ini diperintah oleh golongan awam di bawah sistem demokrasi. Dalam tempoh yang singkat (50 tahun dari 500 tahun lebih), sudah terdapat tanda-tanda wujudnya KETIDAKAMANAHAN golongan pemimpin bangsa ini. Kepentingan diri/peribadi dengan mudah diletakkan di atas kepentingan bangsa/rakyat/negara.

Dan sudah ada tanda-tanda wujud usaha ke arah mewujudkan satu tirani dalam kepimpinan bangsa ini. Parti yang menerajui pemeritahan negara dan kepimpinan bangsa sedang dalam proses dikuasai oleh golongan tertentu, yang sekiranya berjaya akan menguasai parti dan negara secara mutlak. Satu bentuk tirani baru akan wujud.

Sekiranya di masa lampau bangsa ini diperintah secara mutlak oleh golongan raja, kali ini ia akan diperintah secara mutlak oleh golongan yang bersifat diktator dari golongan awamnya sendiri.

Masih tidak serikkah bangsa ini dengan corak pemerintahan mutlak yang menggigit masa lampau? Sudah tidak serikkah bangsa ini terpaksa dijajah (oleh bangsa asing) untuk membebaskannya dari tirani bangsanya sendiri?

Mahukah ia berada kembali di bawah pemerintahan tiranikal (tyrannical rule), walaupun oleh bangsanya sendiri? Mahukah ia dijajah untuk kali ketiga oleh orang orang luar?

Sekiranya penjajah yang datang dalam dua ombak (1500an dan 1800an) akhirnya keluar akibat suasana/imperatif politik dunia yang menghendaki demikian selepas perang dunia kedua, akan keluarkah penjajah baru ini nanti? Tidak mungkinkah mereka akan kekal selama-lamanya? Tidak mungkinkah kita kehilangan negara ini secara kekal seperti mana kita kehilangan Singapura dan wilayah-wilayah di selatan Thailand?

LUPAKAH KITA TRAGEDI BURUK INI? MAHUKAH KITA IA BERULANG?

Insaf dan berfikirlah. Janganlah kerana jawatan dan wang ringgit, kita sanggup menggadai negara. Generasi yang akan datang akan mengutuk kita. Tuhan akan melaknati kita.

No comments: