Sunday, June 1, 2008

Kemelut Islam Hadhari

MELAYU OH MELAYU!

Tidak habis-habis kemelut dan polemik politik bangsa ini. Memang bangsa yang belum mencapai kelas satu (atau dua) begini ragamnya. Pertikaian demi pertikaian. Fikirannya berserabut dan keliru. Bukan sahaja keliru tetapi mengelirukan.

Di manakah cerdikpandai-cerdikpandai bangsa ini? Di manakah alim-ulama yang sebenar?
Islam Hadhari baru saja diharamkan di Selangor.

Itu sajakah kebolehan dan kepandaian ahli agama kita – menjatuhkan hukum? Mengharamkan? Memfatwakan orang sesat?

Sebenarnya tidak ada salah pada istilah ISLAM HADHARI.

Islam itu luas. Ada Islam Asas atau Ritual. Ada Islam Perundangan. Ada Islam Spiritual. Ada Islam Hadhari (atau Madani atau Ketamadunan).

Ia hanya merujuk kepada aspek yang berbeza. Seperti juga mazhab fekah. Setiap mazhab itu merujuk kepada pentafsiran yang berlainan terhadap bab yang berkaitan dengan hukum hakam atau fekah. Salahkah dinamakan Mazhab Shafie, Mazhab Hanbali, Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki dll?

Begitu juga dengan keseluruhan agama itu. Apa yang diamalkan oleh orangramai hari ini hanyalah Islam yang di peringkat asas sahaja. Kalau diberi nama ia boleh dinamakan Islam Asasi. Atau Islam Ritual. Kebanyakannnya berkaitan dengan pengamalan ibadah fardhuain.

Terdapat lagi banyak tuntutan dan ajaran agama yang lebih tinggi dari ini, yang termasuk dalam bab fardhukifayah.

Antaranya ialah soal kemajuan (atau ketamadunan) dan perundangan.

Disebut atau tidak disebut pun apa yang diperjuangkan oleh PAS hari ini ialah ISLAM PERUNDANGAN. Walaupun mereka mendakwa memperjuangkan Islam yang syumul tetapi realitinya tindakan mereka adalah terhad dan terjurus kepada aspek perundangan iaitu menegakkan hukum di peringkat negara. (Sesuai atau tidak diperjuangkan pada masa ini atau boleh atau tidak diperjuangkan secara berasingan itu satu persoalan lain.)

Begitu jugalah halnya dengan hal-hal yang berkaitan dengan ketamadunan. Buah akhir perjuangan Islam yang sebenar adalah tertegaknya satu tamadun di atas muka bumi ini. Inilah yang pernah berlaku sebelum ini. Perjuangan Islam yang bermula di sekitar tahun 600-700 melahirkan satu tamadun baru dunia. Kemuncaknya ialah di sekitar tahun 1300-1400. Aspek ini kalau diambil secara serpihan boleh dipanggil ISLAM HADHARI. Iaitu mengamalkan ajaran Islam yang melibatkan elemen kemajuan dan menjurus kepada terbentuknya satu tamadun.

Yang salahnya ialah pihak yang mempeloporinya gagal meng’formulate/articulate’ idea hadhari/ketamadunan yang sebenarnya. Ideanya benar, isinya tiada. Ada, tetapi hanya perkara biasa sahaja. Kulit tanpa isi yang sebenar. Setakat 10 prinsip yang diketengahkan itu belumlah boleh dikatakan prinsip hadhari/ketamadunan. “There is nothing special and nothing civilisational about it.” Tidak ada yang istimewanya. Tidak ada apa yang dikatakan hadhari.

Selain kelemahan dari segi ‘formulation/articulation’ idea tersebut, terdapat kecenderungan oleh pihak yang mempeloporinya menggunakannya untuk tujuan politik - mempolitikkannya. Di sana-sini dilaungkan istilah ini. Dibangunkan ‘billboard-billboard’. Di adakan seminar-seminar tentangnya. Diadakan Perkampungan Hadhari. Dan dikaitkan pula Islam Hadhari itu dengan ciptaan atau ilham seseorang pemimpin.

Tetapi orang tidak nampak apa-apa. Tidak memberi apa-apa panduan. Kalau dikaitkan dengan kemajuan, sebelum ini pun sudah ada kemajuan. Sudah ada agenda kemajuan. Agenda kerajaan sejak dari dulu lagi pun memang membangunkan kemajuan. Jadi apa istimewanya Islam Hadhari?

Ada. Tetapi tidak ramai orang yang nampak. Apa yang diperkatakan hanyalah kulitan (kulit-kulit) sahaja. Isinya tiada.

Walaupun tidak sempurna ‘articulation/formulation’ idea ini, tetapi ia tetap idea yang benar. Ini yang menyebabkan pihak pembangkang (PAS) menjadi tidak senang.

Islam Hadhari yang sebenar (bukan sekadar yang diketengahkan setakat ini) adalah penghayatan Islam di tahap lebih luas dan lebih tinggi selepas Islam Asasi/Ritual. Ini bertentangan dengan agenda PAS yang menjadikan penegakan Negara Islam (Perundangan Islam) matlamat perjuangannya.

Inilah saya rasa punca utama PAS menentang idea ini habis-habisan. Ia memfatwakan bahawa Islam Hadhari itu satu ajaran baru Islam yang sesat dan menyesatkan.

Inilah kesannya kalau kita tidak ikhlas mencari kebenaran. Lebih parah sekiranya kita telah tersasar dari segi pemikiran. Sekiranya kita ikhlas, kita akan nampak duduk sebenarnya sesuatu perkara dan bersedia membetulkannya. Tetapi jika sendiri pun ada kepentingan politik, kita akan menggunakan otoriti kita sebagai golongan yang alim tentang agama dan mengeluarkan hukum dan fatwa yang tidak sewajarnya.

P.S.
Sebenarnya istilah Islam Hadhari ini telah digunakan semasa Tun Dr Mahathir Mohamad Perdana Menteri lagi. Seorang tokoh agama, kalau tidak silap saya Datuk Hj. Mohd Nakhaie Hj. Ahmad telah membentangkan satu kertaskerja yang menyebut perkara/istilah ini di seminar Malaysia Negara Islam di Shah Alam. Tetapi idea ini telah di”hijack” dan dijadikan satu agenda politik negara.

1 comment:

Anonymous said...

Kemelut islam Hadhari

Inilah akibatnya jika agama Islam itu ingin dipolitikkan......Islam samada Islam hadhari, Islam Pas, Islam Abim, Islam Sister In Islam , Islam Pondok, Islam Azhar semuanya menggunakan pendekatan/sensitiviti/penekanan/polemik keagamaan di dalam meraih sokongan/simpati masyarakat.

Tokoh keagamaan masing-masing sememangnya mengetahui bahawa Islam yang diiktiraf oleh Allah SWT hanyalah Islam yang diamalkan/dipraktikkan/diwartakan di zaman Nabi Muhammad SAW dan 4 sahabat besar.( Telah jelas dinyatakan di dalam ucapan baginda SAW di dalam haji wida' ). Iaitu Islam yang diiktiraf sebagai ad-din - ' cara hidup @ a way of life '. 'CARA HIDUP' 'CARA HIDUP' 'CARA HIDUP'........yakni Islam sudah menyediakan platfom cara hidup kita ( module/kaedah ) di dunia ini......kita cuma ikut sahaja....tidak perlu nak pening-pening lagi memikirkan cara hidup mana yang kita inginkan....semuanya ALLAH SWT telah sediakan.....dan jangan mengingkariNya....jika ingkar...tahulah akibatnya. Lihatlah bencana/malapetaka/bala yang menimpa umat terdahulu dan kejadian-kejadian kini samada di Malaysia mahupun global.

Tetapi kita semua masih berdegil.....kita mahu mengubah sistem yang telah Allah SWT sediakan.....kita mahu Islam itu mengikut 'cara hidup kita'.... maka dengan itu berbagai-bagai slogan/nama direkacipta untuk 'menghalalkan' apa yang kita inginkan ini.......inilah yang dikatakan ' kaedah menghalalkan hukum ' yang sebenarnya tidak wujud di dalam feqah Islam - " Yang Haram dihalalkan manakala Yang Halal diharamkan ". Janganlah pula kita menjadi seperti paderi-paderi kristian.

Kembalilah kita kepada Islam Yang Syumul.....dan hentikanlah peperangan polemik menggunakan nama Islam yang jelik dan jijik itu. Para ulama' dan umara' baik di dalam kerajaan ataupun pembangkang bergabunglah mencari titik pertemuan kepada 'Islam' yang diiktiraf oleh Allah SWT ini. Kita masih belum terlambat.....kita masih sempat berhenti, memikirkan kepentingan ummah dan agama lalu meneruskan perjalanan mencari titik kebenaran ini.

Akhirnya, ia berbalik kepada 'nawaitu' kita.
Jika masing-masing masih mempunyai agenda masing-masing....sampai bilapun titik pertemuan ini tidak akan ditemui.....maka bangsa melayu bukanlah ditakdirkan sebagai bangsa yang akan memartabatkan Islam malah ia ditakdirkan sebagai bangsa yang merosakkan Islam. Tidak malukah kita kepada diri sendiri, kepada Rasulullah SAW dan kepada Allah SWT....

'TEPUK DADA TANYA IMAN'

Wassalam
Anakwatan71
090608@1720