Tuesday, June 3, 2008

Pesanan kepada Pemimpin

Sejarah buruk seperti mahu berulang kembali dengan bangsa ini.

Seolah begitulah yang akan berlaku.

Malah inilah yang akan berlaku jika nasib bangsa ini diserahkan kepada kebanyakan pemimpin yang ada.

TETAPI INI TIDAK AKAN BERLAKU.

Tuhan tidak akan mengizinkannya berlaku. Sekiranya berlaku memang malang semalang-malangnya nasib bangsa ini.

Tragedi penjajahan oleh bangsa Barat masih ada baiknya. Seperti dikatakan oleh Pendeta Za’aba, penjajah itu adalah tentera Tuhan yang menyelamatkan bangsa ini dari tirani bangsanya sendiri.

Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang meletakkan kepercayaan kepada golongan pemimpin mereka. Bangsa ini bukanlah golongan yang gemar memberontak terhadap pemerintah mereka. Pemberontakan itu bukan sebahagian dari watak dan budaya bangsa ini. Sepanjang sejarahnya ia adalah satu bangsa yang taat dan patuh, walaupun diperintah secara kejam dan zalim. Hanya sekali berlakunya regicide (pembunuhan raja), iaitu pada tahun 1699 di mana seorang sultan dibunuh oleh orang kebanyakan.

Tetapi ketaatan dan kepatuhan ini boleh disalahgunakan oleh golongan yang diberi kepercayaan.

Bagaimana sekiranya golongan yang dipercayai tidak amanah kepada kepercayaan yang diberi? Bagaimana sekiranya golongan pemimpin bukan sahaja gagal menjaga kepentingan bangsa, tetapi sanggup mengorbankan bangsa untuk kepentingan sendiri?

Tuhan akan campurtangan.

Tuhan pasti akan campurtangan. Seperti Tuhan campurtangan menyelamatkan Kota Makkah dari tentera gajah Abrahah sebelum kelahiran Nabi Muhammad dahulu. (Memang tidak akan ada burung-burung yang melontarkan batu seperti ketika itu, tetapi Tuhan ada caranya...)

Tuhan tidak akan mengizinkan bangsa ini dikhianati oleh golongan pemimpinnya dan juga golongan unscrupulous politicians (ahli politik tidak bermoral yang tidak teragak berbuat apa saja untuk kepentingan diri mereka). Usaha mereka pasti akan terhalang akhirnya.

Sesiapa yang berhasrat menunggang bangsa ini hingga ke tahap mengkhianatinya pasti akan dihalang Tuhan. Mereka pasti kecundang. Dan mungkin dilaknati oleh Tuhan dan manusia.

Pada keputusan pilihanraya umum baru-baru ini pun sudah ada tanda-tanda campurtangan Tuhan. Sekiranya tidak berlaku apa yang berlaku, sudah pasti agenda golongan tertentu semakin hampir menjadi kenyataan.

Jangan sekali-kali lupa, kita merancang, Tuhan pun merancang. Ada hasrat kita yang diizinkan menjadi kenyataan, tetapi ada perancangan kita secanggih dan sehebat mana pun yang digagalkan. Wang berkapal pun tidak akan bermakna.

Janganlah kita terbawa-bawa oleh kemahuan dan keinginan yang tidak sepatutnya. Apa lagi kemahuan dan keinginan itu membawa bencana kepada bangsa dan negara. Janganlah kita memupuk cita-cita yang tidak sewajarnya. Janganlah kita bercita-cita ingin jadi raja atau “emperor”, seperti Napoleon satu ketika dahulu. Janganlah keinginan kita kepada tahta dan kuasa menyebabkan kita sanggup melakukan apa saja, sehinggakan mengorban dan menggadai negara.

Kembalilah kepada perjuangan mendaulatkan bangsa, negara dan ummah. Gunakan kehebatan kita samada berbentuk material atau bukan-material untuk kebaikan bangsa, negara dan ummah. Bukan untuk ego. Bukan untuk diri, bukan untuk kepentingan peribadi. Bukan untuk lain-lain seperti ingin membina dinasti.

No comments: