Thursday, June 19, 2008

Siapa yang Sakit?

Seorang penulis politik yang agak terkenal di tanahir (terutama dengan nujum/ramalannya) telah menulis di dalam akhbar Buletin Rakyat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang tua yang sakit.

Beliau dikatakan sakit kerana terlalu marah dengan pembatalan jambatan bengkuk.

Benarkah ini? Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang sakit?

Adakah hanya kerana jambatan bengkok Tun Dr Mahathir menjadi sakit?

Siapakah sebenarnya yang sakit? Tun Dr Mahathir Mohamad atau orang lain?

Kalau mengikut kaedah agama, sesiapa yang dituduh kafir tetapi tidak kafir, tuduhan itu kena balik kepada yang menuduh.

Kalau Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sakit, siapa sebenarnya yang sakit? Yang menulis atau orang (pemimpin) lain?

Saya tidak begitu mengenali Tun Dr Mahathir Mohamad secara peribadi. Tetapi saya dapat membuat penilaian saya sendiri. Saya faham mengapa beliau berbuat apa yang beliau buat. Saya yakin beliau tidak akan sekali-kali berhenti dari apa yang sedang dilakukannya kini. Saya pun akan berbuat demikian sekiranya saya berada dalam kedudukan beliau.

Beliau nampak satu bahaya besar atau satu bencana yang menanti bukan sahaja parti UMNO tetapi bangsa dan negara. Sesuatu sedang berlaku dalam UMNO dan dalam negara. Kalau dulu bangsa dan negara boleh dianggap berada di tepi mulut harimau tetapi telah selamat, hari ini bangsa dan negara bukan sahaja kembali berada di tepi mulut harimau tetapi pada waktu yang sama berada di tepi mulut buaya. Kalau dibiarkan kita tidak tahu siapa yang menelan dahulu, harimau atau buaya. Atau kedua-duanya sekali.

Tetapi masalahnya, ramai rakyat tidak nampak. Rakyat tidak nampak masih boleh dimaafkan. Yang sangat malang, ada juga golongan penulis yang tidak nampak. Mereka sepatutnya nampak perkara ini (samada dengan mata lahir atau matahati) dan menyedarkan golongan rakyat.

Tetapi mereka tidak nampak. Saya tidak tahu mata mana yang tidak nampak. Ahli politik mungkin ada yang benar-benar tidak nampak. Tetapi ada juga yang nampak tetapi oleh kerana pangkat, jawatan, kekayaan buat-buat tidak nampak.

Patutlah bangsa ini ditimpa malang sepanjang sejarahnya. Dua golongan utama kurang boleh berperanan dan kurang boleh diharapkan. Pemimpin yang diharapkan tetapi menjadi seperti “pagar makan padi”. Atau “sokong membawa rebah”.

Golongan penulis pun sama. Kita tidak tahu apa sebabnya benda yang terang yang tidak lagi perlu bersuluh pun mereka tidak nampak. Ada diantara mereka bertindak lebih dari lalang yang mudah ditiup angin. Pendirian berubah-ubah. Semalam sokong orang ini. Hari ini sokong orang lain, benci yang semalam. Esok kembali sokong yang semalam, benci yang hari ini.

Apakah bendanya ini? Layakkah dipanggil penulis?
Jadi, siapakah yang sakit sebenarnya? Tun Dr Mahathir? Atau yang menulis? Atau pemimpin-pemimpin yang lain? Atau siapa?

1 comment:

Anonymous said...

Siapa Yang Sakit ?

Saya juga tidak begitu mengenali TDM tetapi saya dapat merasakan bahawa beliau benar-benar ikhlas di dalam perjuangan beliau - memartabatkan agama,bangsa dan negara.

Saya menyokong pendapat anda mengenai sikap penulis-penulis ketika ini. Tetapi itulah perjuangan....perjuangan prinsip hidup dan perjuangan hidup. Nampaknya ramai penulis di negara kita mengutamakan kepada perjuangan hidup daripada perjuangan prinsip hidup. Cari makan !!!!!!!

Apabila media-massa tidak telus dan prinsip yang diperjuangkan tidak jelas dan 'low class'.....bagaimanakah ia boleh mengajar/mengarah masyarakat ( minda dan tindakan ) ke arah nilai-nilai yang murni dan boleh membawa keuntungan kepada negara.

Setiap media-massa tidak kira pro-kerajaan atau pembangkang, mereka mempunyai agenda masing-masing yang lebih menjerumus ke arah politik dendam kesumat, kebencian dan saling jatuh-menjatuhkan / mengaibkan pihak-pihak lain dan kemudiannya 'menimbulkan riak serta bangga diri' tehadap diri sendiri. Justeru itu, masyarakat akan sentiasa dimomokkan dengan isu-isu remeh-temeh dan bukannya kepada isu-isu besar terutama di dalam memjaga dan memelihara kedaulatan agama dan bangsa Melayu di Malaysia.

Masyarakat memerlukan media-massa dan golongan penulis yang jelas dan telus perjuangan mereka. Yang akan berkata/menulis kebenaran semata-mata walaupun di hadapan pemimpin yang zalim. Jika penipuan atau fitnah yang dimomokkan maka masyarakat akan menerima segala informasi2 dan berita2 itu. Mentaliti masyarakat dan tindak-tanduk mereka akan terus diterapkan dan didasarkan dengan apa yang dihulurkan oleh golongan penulis dan media massa.

Wahai golongan penulis dan media-massa, tanyalah diri anda tentang niat sebenar anda menulis. Jika hanya untuk menabur fitnah....hentikan sahaja dan banyakkan bertaubat tetapi untuk kepentingan agama,bangsa dan negara dan demi memperjuangkan kebenaran teruskan niat dan usaha itu.

Sekian
Anakwatan71
20June2008@830am