MELAYU TIDAK AKAN HILANG DI DUNIA.
Itulah kata-kata keramat Hang Tuah. Benarkah kata-kata ini? Benarkah Melayu tidak akan hilang di dunia?
Boleh jadi benar. Melayu tidak akan hilang di dunia.
Tetapi, bukanlah kerana kehebatan orang Melayu sendiri atau pemimpinnya. Bukan kerana kekuatan atau kehebatan bangsa ini sendiri yang ia akan terus selamat. Tetapi kerana Tuhan yang menghendaki demikian. Tuhan yang melindungi dan memeliharanya.
Bangsa ini selamat “inspite of” kerenah dan perangai buruknya. Kalau ikutkan tindak tanduk mereka (rakyat dan pemimpin) pasti sudah lama bangsa ini sudah “tiada di dunia”. Hilang entah di mana. Merempat entah di mana. Berbagai malapetaka ciptaan sendiri yang memusnahkannya. Bangsa ini pasti sudah musnah akibat keburukan dan kejahatan sendiri.
Sebenarnya, Tuhanlah yang memelihara bangsa ini. Tuhanlah yang memelihara mereka dari kejahatannya dan kejahatan golongan pemimpinnya sendiri. Agama Islamlah yang menyelamatkan mereka. Pengamalan Islam yang sedikit itulah yang membolehkan bangsa ini masih ada negaranya, masih ada di tanahairnya.
Tanpa Islam kita tidak pasti apa yang sudah berlaku. Sedangkan dalam keadaan beragama Islam pun macam-macam perkara boleh berlaku. Macam-macam perkara yang tidak masuk akal boleh berlaku. Bayangkanlah kalau bangsa ini bukan penganut agama Islam. Boleh jadi ia menjadi seburuk-buruk umat di atas muka bumi.
Kelemahan bangsa ini sudah diperkatakan oleh Pendita Zaaba sejak tahun 30an dan 40an lagi. Tun Dr Mahathir Mohamad pun ada menulis dalam buku Dilema Melayunya. Macam-macam perangai rendah terdapat pada bangsa ini. Bacalah kembali tulisan kedua tokoh ini.
Rata-rata boleh dikatakan bangsa ini mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang rendah. Sangat mementingkan diri sendiri walaupun memudaratkan bangsa dan negara, bahkan sanggup menggadai negara untuk kepentingan diri. Lihatlah gelagat sebahagian golongan pemimpinnya...
Sejarah dengan jelas membuktikan bahawa golongan pemimpin dengan mudah bersekongkol dengan pihak luar sekiranya dapat memegang tampuk kuasa. Mereka dengan mudah mengundang pihak luar untuk campurtangan asalkan mereka “naik tahta”.
Mereka akan merebut dan mempertahankan kuasa dengan apa cara sekalipun. Yang tidak layak jadi pemimpin ingin jadi pemimpin. Wang dan agama digunakan sebagai alat untuk berkuasa.
Golongan rakyatnya pun tidak kurang juga. Mereka bersikap tidak peduli, asalkan mereka dapat kesenangan. Undi sudah dibeli dengan wang.
Mereka juga sangat mudah terkeliru dan terpedaya dengan idea-idea atau agenda perjuangan yang tidak benar yang dibawa oleh golongan agama.
Kakitangan kerajaan (termasuk golongan pendidik) mempunyai dedikasi yang sangat rendah. Yang berpangkat mengutamakan jawatan. Bukan JASA yang hendak dibuat tetapi JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) yang diburu. Setidak-tidaknya jawatan DG/DH/DS 48/52/54 dsbnya, kalau pun bukan JUSA. Hasil kerja tidak seberapa. Tidak setimpal dengan jawatan/pangkat dan gaji/elaun. Nasib pelajar kurang diambil berat. Kalau ada pun hanyalah mengusahakan pelajar mendapat keputusan peperiksaan yang tinggi (itu pun mungkin ada kepentingan peribadi disebaliknya – untuk tujuan naik pangkat). Tidak kurang juga yang ‘membega’ markah dengan cara meluluskan yang tidak patut lulus. Sebabnya...? Anda tahu sendiri.
Inilah realiti bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah itu mungkin benar, tetapi bukanlah kerana kebaikan dan kehebatannya, ia tidak akan hilang di dunia. Ia masih wujud kerana Tuhan yang menghendaki demikian, Tuhan yang memeliharanya.
No comments:
Post a Comment